DOKTOR mengambil sampel dari seorang wanita di Amritsar, India. FOTO AFP
DOKTOR mengambil sampel dari seorang wanita di Amritsar, India. FOTO AFP
Agensi

NEW DELHI: Ujian percubaan ke atas manusia untuk pembangunan vaksin oleh Universiti Oxford bermula Khamis lalu turut disertai syarikat pengeluar dari India, Serum Institute of India (SII).

Melalui ujian percubaan berkenaan, dua daripada 800 sukarelawan disuntik dengan vaksin baharu dikenali sebagai ChAdOx1 nCoV-19.

Ia vaksin koronavirus keenam yang memasuki fasa pertama ujian klinikal.

Hindustan Times melaporkan sekiranya ia berhasil, saintis menjangka menyediakan sejuta dos menjelang September depan dan menambah pengeluarannya selepas itu.

SII bekerjasama dengan Universiti Oxford untuk menghasilkan vaksin berkenaan walaupun masih dalam fasa ujian.

Percubaan itu untuk mengenal pasti sama ada vaksin berkenaan selamat dan boleh menghasilkan tindak balas kuat terhadap Sars-Cov-2, virus yang mengakibatkan Covid-19.

Vaksin itu dihasilkan dari adenovirus yang dilemahkan yang diambil dari cimpanzi dan diubah suai secara genetik bagi memastikan ia mustahil menjangkiti manusia.

Untuk membangunkan vaksin itu, penyelidik menambah bahan genetik kepada ChAdOx1 dari permukaan protein virus Sars-CoV-2 iaitu spike glycoprotein yang membantu membentuk reseptor Ace2 dari memasuki sel manusia yang seterusnya menyebabkan jangkitan.

Pengarah, Majlis Kajian Industri dan Saintifik, Institut Genom dan Biologi, Dr Anurag Agrawal berkata, pihaknya menjangka gabungan adenovirus lemah itu menyebabkan pembentukan antibodi menentang Sars-CoV-2 dan seterusnya menghasilkan imuniti.

"Vaksin ini selamat namun ada segelintir individu mungkin mengalami kesan sampingan ringan dan sementara seperti lenguh pada tempat suntikan, sakit kepala atau demam beberapa hari selepas menerima vaksin," katanya.

Dalam kajian ini, separuh sukarelawan berusia 18 dan 55 tahun menerima vaksin Covid-19 dan sebahagian lagi menerima vaksin kawalan yang melindungi dari meningitis.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 6:31 AM