Tedros, gambar fail. FOTO Agensi
Tedros, gambar fail. FOTO Agensi
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam meluluskan vaksin Covid-19 Johnson & Johnson (J&J), sekali gus membuka jalan untuk 500 juta dos vaksin tambahan memasuki skim perkongsian vaksin global Covax.

"Setiap alat baharu, selamat dan berkesan untuk melawan Covid-19 adalah langkah terbaik mengendalikan penularan wabak itu," kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan.

Berita itu muncul setelah vaksin satu dos itu mendapat kelulusan dari Kesatuan Eropah (EU) kelmarin.

Ia juga telah menerima lampu hijau dari pengawal selia di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Afrika Selatan.

Menurut WHO, vaksin J&J jab diberi 'senarai penggunaan kecemasan' yang menilai kesesuaian produk kesihatan baharu semasa kecemasan kesihatan awam, dan lebih cepat daripada sistem pelesenan biasa.

Organisasi itu memberikan senarai penggunaan kecemasan kepada vaksin AstraZeneca Covid-19 yang dikeluarkan di India dan Korea Selatan, serta ubatan yang dihasilkan oleh Pfizer/BioNTech.

Untuk vaksin Sinofarm dan Sinovac di China, bersama-sama dengan vaksin Moderna, keputusan dijangkakan paling awal pada Mac ini.

Kelulusan WHO membuka jalan untuk penggunaan vaksin sebagai sebahagian daripada inisiatif Covax yang bertujuan untuk memastikan akses vaksin yang adil kepada negara miskin.

Kira-kira 500 juta dos vaksin J&J dijanjikan ke kemudahan itu dan WHO berharap ia dapat dilancarkan melalui skim terbabit mulai Julai, jika tidak lebih awal.

"Apabila vaksin baharu tersedia, kita mesti memastikan ia menjadi sebahagian daripada penyelesaian global, dan bukan sebab lain kepada beberapa negara dan orang ramai ketinggalan," kata Tedros.

"Kami berharap vaksin baharu ini dapat membantu merapatkan jurang ketaksamaan vaksin, dan bukan menambahkan lagi jurang terbabit," katanya.

Ujian klinikal mendapati bahawa vaksin J&J adalah 67 peratus berkesan untuk mencegah orang ramai dijangkiti Covid-19.

Namun, keputusan itu mengambil kira semua varian Covid-19.

Vaksin itu terbukti 85.4 peratus berkesan untuk mencegah penyakit yang teruk.

"Data sampel dari ujian klinikal besar yang dikongsi oleh syarikat juga menunjukkan bahawa vaksin berkesan pada populasi yang lebih tua," kata WHO.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 1:28 PM