ORLA Melissa Sloan. FOTO Agensi
ORLA Melissa Sloan. FOTO Agensi
AFP

London: Pempengaruh media sosial yang mengintip (stalk) dan mengganggu bintang Liga Perdana Inggeris, Mason Mount, dan rakan sepasukannya dengan kiriman mesej, diarahkan membayar pampasan.

Orla Melissa Sloan, 21, didakwa melakukan kesalahan itu empat bulan lalu selepas lelaki itu memutuskan hubungan mereka.

Mahkamah Majistret Westminster di tengah London, mengarahkan Sloan membayar pampasan kepada pemain tengah England itu dengan nilai 300 pound sterling (RM1,779) selepas seminggu membuat pengakuan mengintip lelaki itu dan bekas rakan sepasukannya, Billy Gilmour.

Sloan juga diarahkan membayar Gilmour dengan nilai 500 pound sterling (RM2,965).

Wanita itu juga yang mengaku mengganggu seorang lagi pemain bola sepak, Ben Chilwell dan diperintahkan membayar dengan 300 pound sterling (RM1,779) kepada lelaki itu.

Mahkamah mendengar dia menjalin hubungan intim dengan Mount selepas mereka bertemu di sebuah parti di rumah rakan sepasukan lelaki itu di England, Chilwell pada November 2020.

Pendakwa Raya Jason Seetal berkata, mereka kekal berhubung selama kira-kira enam bulan sebelum Mount memutuskan hubungan itu.

"Selepas memaklumkan perkara itu kepada wanita terbabit, bintang bola sepak itu diserang dengan mesej bertalu-talu.

"Dia menyekat nombor berkenaan selepas berterusan menerima mesej terbabit sebelum menerima mesej daripada nombor baharu," katanya.

Katanya, wanita itu menggunakan 21 nombor berbeza untuk menghubungi Mount.

Mount berkata, dia bimbang wanita itu obses dengannya dan sanggup melakukan apa saja.

"Sloan tahu di mana saya tinggal dan di mana saya berlatih.

"Saya bimbang seolah-olah dia tidak dapat menghubungi saya dia mungkin akan datang ke pusat latihan saya," katanya.

Mahkamah turut mendengar, pemain tengah Scotland, Gilmour yang menyertai Brighton pada September, pada mulanya bertukar mesej dengan Sloan sebelum memberitahu dia tidak mahu hubungan mereka berterusan dan tidak mempunyai hubungan dengannya.

Sloan mendakwa dia hamil yang disifatkan mahkamah sebagai tidak relevan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 12:01 PM