GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

London: Gara-gara menyangka anaknya dalam kesusahan, seorang warga emas kerugian 7,000 pound sterling (RM39,129.62) ditipu Hello Mum and Hello Dad Scam yang menyamar sebagai anak perempuannya.

Pesara itu, Gerry Ellis menerima pesanan mesej dari WhatsApp yang mendakwa sebagai anak perempuannya, awal bulan ini.

"Anak perempuan saya dalam proses bercerai pada masa ini, jadi masuk akal juga saya anggap mesej itu daripada dia.

"Mesej itu mengatakan dia menukar nombornya dan akaun bank kerana perceraian serta meminta wang membayar bil perubatan," katanya kepada Mirror.

Katanya, individu menyamar sebagai anaknya meminta 2,800 Pound Sterling (RM15,651.85).

"Saya semak nama serta maklumat doktor dan ia sah, jadi saya pun bayar bil itu.

"Diam tak diam sudah empat kali saya bantu dia bayarkan bil itu.

"Bank saya terus menyekatnya namun saya menghubungi mereka dan ia kembali okay sebelum cubaan kelima gagal apabila saya menyedari sesuatu mencurigakan," katanya.

Gerry menyimpan butiran perbualan dan kini membuat aduan di Action Fraud dan pihak bank.

Sementara itu, Action Fraud mendedahkan, 25 penipuan sama dengan nilai kerugian 48,356 Pound Sterling (RM270,307.40) dilaporkan sepanjang Ogos hingga Oktober lalu.

Kumpulan itu menyasarkan ibu bapa dengan modus operandi menyamar sebagai anak mangsa meminta wang menggunakan nombor baharu dengan alasan telefon mereka rosak atau hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 6:10 AM