TIKTOKER mengaku mengintai Mason Mount. FOTO Reuters
TIKTOKER mengaku mengintai Mason Mount. FOTO Reuters
Agensi

London: Seorang wanita juga TikToker mengaku bersalah atas kesalahan mengintai (stalking) dua pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris dan mengganggu pemain ketiga.

Portal BBC News melaporkan, tertuduh, Orla Melissa Sloan, 21, mengganggu Mason Mount, 24, yang juga pemain Chelsea, dengan mesej sebagai cubaan mengintip selama empat bulan selepas hubungan mereka berakhir.

Dia juga mengaku bersalah mengintai bekas rakan sepasukan Mount, Billy Gilmour, 21, dan mengganggu seorang lagi pemain, Ben Chilwell, 26.

Gilmour berkata, mesej diterima memberi impak besar dalam hidupnya.

Mahkamah Majistret Westminster mendengar Sloan dan Mount tidur bersama selepas mereka bertemu di sebuah parti di rumah Chilwell pada November 2020.

Pendakwa raya, Jason Seetal berkata, mereka kekal berhubung selama kira-kira enam bulan sebelum Mount memutuskan hubungan.

Mount kemudiannya dihujani dengan mesej daripada Sloan sebelum dia bertindak menyekat nombor wanita itu.

Mahkamah diberitahu, wanita terbabit menggunakan 21 nombor berbeza untuk menghubungi pemain bola sepak berkenaan.

Dalam satu kenyataannya, Mount berkata, dia bimbang Sloan akan datang ke pusat latihannya.

Pemain tengah Scotland, Gilmour pula berkata, mesej wanita itu mempunyai impak besar dalam hidupnya selepas menyertai Brighton & Hove Albion daripada Chelsea pada September tahun lalu.

"Saya tidak boleh tidur dan terpaksa mengambil pil tidur," katanya.

Sloan, dari Exeter, mengaku bersalah mengintip Gilmour antara 10 September dan 28 Oktober tahun lalu.

Dia juga mengaku mengintip Mount antara 19 Jun dan 28 Oktober tahun lalu, serta menyebabkan gangguan kepada Chilwell antara 20 Oktober dan 29 Oktober 2022.

Hakim Daerah Neeta Minhas menetapkan hukuman terhadap wanita itu akan diputuskan menerusi prosiding pada 20 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 1:08 PM