Rachel Thomas-Tear. FOTO Agensi
Rachel Thomas-Tear. FOTO Agensi
Agensi

London: Gara-gara mahu membalas dendam, lelaki menggunakan perkataan kesat dalam rujukan slip transaksi pemindahan wang kepada bekas teman wanitanya.

Lelaki itu, dikenakan perintah larangan selepas sengaja memindahkan wang dalam akaun bekas teman wanitanya itu, supaya dia dapat melihat mesej kesat pada bahagian rujukan slip pembayaran.

Menurut Mahkamah Majistret Warrington, Jack Roach, 29, dari Little Sutton, Cheshire, terus mengirim mesej dan membuat panggilan telefon kepada Rachel Thomas-Tear, 24, walaupun selepas tiga bulan, hubungan mereka menjadi renggang pada Januari.

Pendakwa Raya Laura Simpson berkata, wanita itu menyekatnya, namun lelaki itu terus mengganggunya menggunakan nombor tidak dikenali dan membuat akaun Snapchat palsu untuk mencuba menghubunginya.

Katanya, selepas Rachel menukar nombor telefonnya, dia mula mendapat slip pembayaran sebanyak 41 transaksi pemindahan wang daripada lelaki itu dengan mesej seperti "Unblock me to talk" dan "Little tramp, no wonder you have got no one" (si jalang, tidak hairanlah kamu tidak mempunyai sesiapa).

"Ibu Rachel melaporkan gangguan itu, namun lelaki itu melanggar perintah tidak menghubungi wanita itu di bawah syarat jaminannya dengan masih mengganggu wanita itu pada Mei lalu.

"Roach juga mengintip bekas teman wanitanya di rumahnya selain meninggalkan bunga, lilin dan barang-barang lain di depan pintunya," katanya.

Tertuduh mengaku pergi ke kediaman Rachel dengan mendakwa dia hanya mahu memulangkan barang kepada anak lelaki Rachel, selain memberikan hadiah untuk memberi semangat dengan harapan hubungan mereka dapat dipulihkan.

Roach turut menafikan membuat akaun media sosial palsu untuk menghubunginya atau membuat beberapa panggilan, namun tertuduh mengaku mengintai dan menggunakan istilah yang menghina dan kesat jika wanita itu tidak membalas kepadanya.

Dalam satu kenyataan, Rachel berkata, sejak diganggu Roach, dia suka menyendiri dalam rumah sahaja dan tidak mempercayai orang lain selain hidupnya tidak tenang.

"Saya tidak keluar kerana takut terserempak dengannya.

"Saya sentiasa bimbang dia boleh datang ke rumah saya seperti yang dia lakukan. Saya hidup dalam ketakutan setiap hari.

"Saya tidak tidur dengan lena kerana saya sentiasa bimbang, terutamanya jika saya mendengar bunyi bising pada waktu malam," katanya.

Di akhir perbicaraan, mahkamah memerintahkan Roach membayar denda 545 Pound Sterling (RM2,682.87) kos dan surcaj mangsa, serta diarah menjalani 135 jam kerja sukarela serta 20 hari aktiviti pemulihan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 1:14 PM