MASON Mount dan Chilwell melalui proses pengasingan diri. FOTO AFP
MASON Mount dan Chilwell melalui proses pengasingan diri. FOTO AFP
AFP

London: England berdepan tamparan apabila dua bintang Chelsea, Mason Mount dan Ben Chilwell terpaksa melalui proses pengasingan diri kerana mempunyai kontak rapat dengan pemain Scotland, Billy Gilmour yang didapati positif Covid-19.

Kesemua 26 pemain England memperoleh keputusan negatif selepas melakukan ujian sebaik menerima berita Gilmour positif virus berkenaan.

Bagaimanapun Mount dan Chilwell kemungkinan terlepas beraksi bersama England berdepan Republik Czech di Wembley awal pagi esok kerana mempunyai kontak rapat dengan Gilmour.

Mount dan Chilwell dilihat berada di sebelah Gilmour selepas perlawanan antara England dan Scotland yang berkesudahan seri 0-0.

Persatuan Bolasepak (FA) England sedang mengadakan perbincangan bersama pihak kesihatan sama ada kedua-dua pemain itu dibenarkan untuk beraksi menentang Czech.

Gilmour sudah diketepikan untuk pertemuan wajib menang Scotland bertemu Croatia di Glasgow awal pagi esok.

"Sebagai langkah berjaga-jaga serta selepas mendapat nasihat daripada pihak Kesihatan Awam England (PHE), Ben Chilwell dan Mason Mount akan diasingkan selepas mempunyai kontak rapat dengan pemain Scotland, Billy Gilmour.

"Kesemua anggota pasukan sudah menjalani ujian dan didapati negatif. Kami akan terus mengikuti segala protokol Covid-19," kata FA England dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 7:25 AM