BEK England, Ben Chilwell membuat pengasingan diri selepas menjadi kontak rapat kepada meian Scotland, Billy Gilmour yang positif Covid-19. FOTO AFP
BEK England, Ben Chilwell membuat pengasingan diri selepas menjadi kontak rapat kepada meian Scotland, Billy Gilmour yang positif Covid-19. FOTO AFP
AFP

London: England kehilangan dua pemain Chelsea, Mason Mount dan Ben Chilwell pada aksi terakhir Kumpulan D Euro 2020 menentang Republik Czech, hari ini dan kemungkinan aksi di pusingan kalah mati, selepas menjalani pengasingan akibat kontak kepada pemain lawan yang positif Covid-19.

Mount dan Chilwell berpelukan dengan rakan sekelab mereka, Billy Gilmour selepas England dan Scotland seri tanpa jaringan, Jumaat lalu.

Gilmour diuji positif Covid-19, semalam, tetapi tiada pemain Scotland membuat pengasingan diri untuk perlawanan dengan Croatia, hari ini.

Perlawanan itu akan menentukan sama ada Steve Clarke layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah mereka.

England sudah layak ke pusingan seterusnya menjelang kunjungan Republik Czech di Wembley.

Jika the Three Lions menewaskan Czech dan muncul juara kumpulan, mereka turun beraksi pusingan kalah mati di Wembley pada 29 Jun, dan kedua-dua pemain itu mungkin boleh beraksi.

Jika menduduki tempat kedua kumpulan, anak buah Gareth Southgate akan berkunjung ke Copenhagen pada 28 Jun.

"Kami mengesahkan Ben Chilwell dan Mason Mount mesti menjalani pengasingan diri sehingga Isnin depan (28 Jun). Keputusan ini diambil selepas rundingan dengan pihak Kesihatan Awam England (PHE)," kata Persatuan Bola Sepak Inggeris, dalam kenyataan.

"Chilwell dan Mount akan berlatih sendirian di kawasan persendirian di kem latihan England di St George's Park, manakala pasukan akan pulang ke situ selepas aksi menentang Czech di Wembley.

"Kami akan mematuhi semua protokol Covid-19 dan peraturan ujian Uefa, selain berhubung rapat dengan PHE.

"Semua anggota skuad England menjalani ujian semalam dan sekali lagi negatif, sama seperti ujian PCR pada Ahad lalu seperti ditetapkan Uefa menjelang perlawanan."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 9:26 PM