GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Singapura: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam minggu oleh mahkamah di sini, Selasa lalu, kerana menyerang seorang pekerja seks selepas tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diterimanya.

Channel News Asia (CNA) melaporkan, Goh Jun Liang, 28, mengaku bersalah atas satu pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Mahkamah diberitahu bahawa Goh adalah warga Malaysia yang bekerja sebagai pembungkus di sebuah syarikat farmaseutikal.

Pada 16 April tahun ini, Goh sedang melayari laman web yang mengiklankan perkhidmatan seks apabila dia menemui profil mangsa.

Ia mengiklankan aktiviti seksual dengan harga 130 dolar Singapura (kira-kira RM445), dan Goh mengatur pertemuan lewat malam itu.

Mereka bertemu di rumah mangsa pada 8 malam dan Goh menyerahkan 130 dolar Singapura kepadanya.

Mereka melakukan hubungan seks sebelum lelaki itu mandi.

Selepas itu, Goh meminta khidmat seks sekali lagi dan menyerahkan 130 dolar Singapura kepada mangsa.

Selepas hubungan kali kedua itu, Goh merasakan wang yang sudah dibayarnya kepada mangsa "tidak berbaloi, dan memutuskan untuk mengambil semula wang itu secara paksa", kata pendakwa raya.

Goh melihat botol air buatan logam yang berada di atas meja dan mengambilnya. Apabila wanita itu membelakanginya, dia memukul belakang dan leher wanita itu sambil meminta supaya wangnya dikembalikan.

Mangsa bersetuju untuk memulangkan 260 dolar Singapura (kira-kira RM890), tetapi Goh tidak berhenti memukulnya sehingga mangsa menyerahkan wang tunai itu.

Selepas Goh beredar, mangsa menghubungi rakannya dan membuat laporan polis.

Mangsa mengalami bengkak pada bahunya dan masih berasa sakit di kepala walaupun beberapa jam selepas serangan itu, tetapi menolak untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 12:00 PM