GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Dubai: Mahkamah Jenayah Dubai menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda Dh200,000 (kira-kira RM227,000) kepada dua individu yang menayangkan wang palsu untuk kelihatan kaya serta mendapatkan pengikut di media sosial

Portal Khaleej Times melaporkan, dua individu itu juga diusir keluar dari negara itu.

Fakta kes itu bermula pada Jun 2021, apabila pengawal keselamatan bangunan melaporkan melihat wang bertaburan dari kenderaan mewah yang dipandu oleh orang Eropah di kawasan Dubai Marina.

Seorang anggota polis berkata, pasukan penyiasat mengenal pasti jurugambar klip video itu dan orang yang menabur wang, iaitu wang kertas palsu bernilai 50 dan 100 dolar Australia.

Dalam keterangannya, jurugambar itu mengakui dia bekerja untuk sebuah syarikat fotografi acara di negara jiran dan tertuduh dari Eropah memintanya untuk merakamnya di Dubai.

Selepas kejadian itu, jurugambar menyerahkan bahan dirakam kepada polis.

Tertuduh mengakui dia dan seorang warga Asia mencetak 750 mata wang Australia untuk digunakan dalam video itu.

Dia berkata, wang itu digunakan untuk penggambaran adegan dalam karya seni dan dia tidak berniat untuk mempromosikan mata wang palsu itu.

Individu dari Asia yang membantunya mencetak nota palsu itu ditahan selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 6:56 AM