KOTAK berisi kad Pokemon. FOTO fail AFP
KOTAK berisi kad Pokemon. FOTO fail AFP
Agensi

Singapura: Wanita dihukum penjara 31 bulan selepas mengaku bersalah, pada Khamis lalu, atas empat pertuduhan menipu berhubung jual beli kad Pokemon.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, dua pembeli menjadi mangsa tertuduh, Koh Jia Wen, 26, apabila kedua-duanya tidak mendapat kad yang mereka pesan.

Selepas diberitahu tertuduh akan menerima diskaun bagi setiap kes kad Pokemon daripada pembelian pukalnya di Carousell, seorang pembeli membayar hampir 80,000 dolar Singapura (kira-kira RM277,296) sebagai deposit.

Pembeli lain menggabungkan pesanan daripada ahli kumpulan Facebook (FB) Pokemon TCG dan membayar jumlah deposit sebanyak 20,840 dolar Singapura (kira-kira RM72,236).

Antara 2021 dan 2022, Koh menggunakan Carousell untuk mempromosikan penjualan kad Pokemon, yang biasanya dijual dalam bekas, di mana setiap bekas memuatkan enam kotak yang setiap satu mengandungi 36 kad.

Apabila pembeli berminat menghubunginya, dia akan memberitahu mereka bahawa kad itu perlu ditempah awal dan meminta mereka membayar deposit 50 peratus.

Koh akan meminta mereka memasukkan wang itu ke dalam pelbagai akaun bank, tidak satu pun miliknya kerana dia disenarai hitam daripada membuka akaun bank baharu.

Siasatan mendedahkan Koh tidak dibenarkan membuka sebarang akaun bank baharu dengan United Overseas Bank (UOB), OCBC dan DBS tanpa kebenaran lanjut, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Sean Teh.

Bagaimanapun, tiada butiran lanjut mengapa ia berlaku.

Akaun bank yang digunakan Koh untuk transaksi itu adalah milik rakan dan kenalan yang akan mengeluarkan wang dipindahkan selepas transaksi dan menyerahkannya kepadanya.

Pembeli membuat laporan polis apabila tidak menerima kad Pokemon yang mereka pesan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 10:58 AM