WANG kertas itu ditemukan dalam beg plastik. FOTO Facebook
WANG kertas itu ditemukan dalam beg plastik. FOTO Facebook
Agensi

Singapura: Wanita warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Singapura selepas disyaki membawa masuk 20,000 dolar Singapura (kira-kira RM66,000) yang tidak diisytiharkan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 25 April lalu, lapor The Straits Times.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam kenyataan di Facebook semalam berkata, wanita terbabit memasuki Singapura dengan menaiki kereta.

"Pegawai memprofilkan kenderaan didaftarkan di Malaysia untuk pemeriksaan menyeluruh dan menemui timbunan mata wang yang dibungkus dalam beg plastik merah jambu di dalam kenderaan itu," katanya.

Kes dirujuk kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Mengikut undang-undang, pelancong yang memasuki atau meninggalkan Singapura dengan membawa mata wang fizikal dan instrumen boleh niaga seperti cek atau borang pembawa melebihi 20,000 dolar Singapura atau setara dengannya dalam mata wang asing dikehendaki mengemukakan laporan kepada polis.

"Keperluan pelaporan itu adalah sebahagian daripada usaha memerangi pengubahan wang haram antarabangsa dan pembiayaan keganasan," kata ICA.

Kegagalan melaporkan wang dalam jumlah tertentu adalah kesalahan yang membawa denda sehingga 50,000 dolar Singapura (kira-kira RM167,000) atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 10:13 AM