PESAWAT Scoot. FOTO AFP
PESAWAT Scoot. FOTO AFP
Agensi

Singapura: Seorang lelaki dituduh mencuri wang tunai lebih AS$23,000 (kira-kira RM106,970) daripada tiga penumpang lain semasa dalam satu penerbangan dari Vietnam ke Singapura, baru-baru ini.

CNN Travel melaporkan, Zhang Xiuqiang, seorang warga China berusia 52 tahun didakwa melakukan perbuatan itu ketika menaiki penerbangan dikendalikan oleh Scoot, iaitu syarikat penerbangan tambang rendah di bawah Singapore Airlines.

Jurucakap syarikat penerbangan memberitahu CNN, kecurian itu berlaku dalam penerbangan dari Ho Chi Minh City ke Singapura, pada 16 Disember itu.

"Kru kabin kami dimaklumkan oleh penumpang mengenai kecurian yang disyaki di dalam kabin dan mengaktifkan maklumat kes kepada Bahagian Polis Lapangan Terbang.

"Penumpang yang terbabit diiringi keluar dari pesawat oleh pihak berkuasa lapangan terbang untuk siasatan lanjut, dan pelepasan diteruskan seperti biasa untuk penumpang kami yang lain," kata jurucakap itu.

Menurut kertas pertuduhan yang dibacakan di mahkamah dan dilaporkan oleh penyiar awam Singapura, Channel NewsAsia, Zhang didakwa mencuri daripada tiga penumpang berasingan.

Dia dilaporkan mencuri tiga juta dong Vietnam (kira-kira RM572) dan 510 juta dong Vietnam (kira-kira RM97,404) dari beg galas penumpang iaitu seorang daripada mangsa kecurian.

Tertuduh turut dituduh mencuri wang kertas 50 dolar Singapura (kira-kira RM175) daripada beg hitam milik seorang lagi mangsa.

Dia juga dituduh mengambil AS$1,000 (kira-kira RM4,651) dan 930 dolar Singapura (kira-kira RM3,253) dari sampul yang ditemukan di dalam beg kelabu milik penumpang ketiga.

Jika sabit kesalahan mencuri, Zhang boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Kecurian di kabin adalah jenayah persekutuan di banyak negara dan lebih biasa daripada yang difikirkan oleh kebanyakan pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 2:25 PM