FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Singapura: Akibat 'panjang tangan', wanita juga pembantu rumah menerima padah apabila dihukum penjara tiga bulan selepas didapati bersalah mencuri sampul wang berisi 7,000 dolar Singapura milik majikannya.

Portal Today Online melaporkan, tertuduh Nurfiyawati, 36, sebelum itu mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Perbuatan Nurfiyawati terbongkar selepas majikannya, Sim Yuan San terjumpa akaun TikTok wanita itu dan melihat sampul wang diberikan bapa mentuanya dalam video dimuat naik pembantu rumahnya.

Dia kemudian memeriksa bilik Nurfiyawati dan menemukan beberapa sampul yang sudah kosong.

Selepas disoal, Nurfiyawati mengaku mencuri sekurang-kurangnya 7,000 dolar Singapura (kira-kira RM24,008) daripada majikannya, yang kebanyakan daripada wang itu dihantar ke Indonesia.

Susulan pengakuan Nurfiyawati, Sim kemudian melaporkan kecurian itu kepada polis.

Difahamkan, Nurfiyawati bekerja dengan Sim sejak Januari tahun lalu dan tugasnya termasuk membersihkan, memasak dan menjaga anak lelaki majikannya yang berusia empat tahun.

Ketika keluarga majikannya bercuti di Korea Selatan pada Mei tahun lalu, Nurfiyawati mengambil kesempatan dengan menggeledah bilik Sim, sebelum menemukan sebuah kotak yang mengandungi kira-kira 50 hingga 60 sampul merah berisi antara 10 dolar Singapura (kira-kira RM34.30) dan 400 dolar Singapura (kira-kira RM1,372).

Dia mengambil dua paket sampul itu dan menyimpan wang berkenaan, kata pegawai pendakwa negeri Lam Peng Choy.

Menurut pendakwa raya, Nurfiyawati melakukan perbuatan itu sekurang-kurangnya 32 kali antara Mei dan 21 Ogos tahun lalu, serta terus mencuri dua paket sampul merah berisi wang setiap minggu dari kotak sama, kata pendakwa raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 10:07 AM