BANJIR melanda Phuket, semalam. FOTO Reuters.
BANJIR melanda Phuket, semalam. FOTO Reuters.
Agensi

Phuket: Banjir yang melanda pulau ini, semalam menyebabkan ada pelancong yang terlepas penerbangan, sementara yang lain bergelut untuk pulang ke hotel dan tempat penginapan masing-masing.

Bencana itu yang jarang berlaku di pulau peranginan berkenaan turut mengakibatkan jalan raya sesak dan laluan ke lapangan terbang ditenggelami air.

Ketika pihak berkuasa berusaha membantu penduduk terjejas, agensi cuaca Thailand meramalkan hujan akan berterusan di Phuket dan wilayah lain termasuk kepulauan Andaman.

"Ranong, Phannga, Phuket, Krabi, Trang dan Satun perlu waspada dengan kemungkinan banjir kilat," kata wakil Jabatan Meteorologi, Charan Yiemvej yang dilapor Bangkok Post.

Menurutnya, kemungkinan taburan hujan di pulau itu sehingga 70 peratus pada hari ini hingga Rabu.

LELAKI meranduk banjir di pulau pelancongan popular Thailand. FOTO Reuters.
LELAKI meranduk banjir di pulau pelancongan popular Thailand. FOTO Reuters.

Ketua Pejabat Pelancongan dan Sukan Phuket, Ratchadaporn O-in yang dipetik pejabat perhubungan awam wilayah itu berkata, syarikat penerbangan melanjutkan masa daftar masuk antara 20 minit ke satu jam susulan banjir.

Pelancong yang baru tiba di Phuket juga terkesan disebabkan pengangkutan awam tersadai di tepi jalan.

Pelancong telah diminta keluar tiga ke empat jam sebelum penerbangan selepas hujan lebat sepanjang malam yang menenggelamkan sebahagian pulau.

Kejiranan terkenal di pusat bandar Phuket paling teruk terjejas.

Phuket Smart Bus Co bertindak menggantung sementara perkhidmatan bas lapangan terbang di Kamala, Cherng Talay, Pantai Surin dan Ban Kian bagi mengelak banjir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pengangkutan Darat, Adcha Buachan berkata, semua bas ke wilayah lain masih beroperasi dari dua terminal bas Phuket.

Katanya, tiada penumpang dilapor terkandas setakat ini, namun perkhidmatan bas itu tertakluk situasi semasa banjir.

"Setakat ini, hanya perkhidmatan van dan kenderaan kecil yang digantung sementara berikutan paras air tinggi di beberapa jalan," katanya.

PIHAK berkuasa mengangkat warga emas yang untuk dipindahkan ke kawasan selamat selepas bandar Phuket banjir. FOTO Reuters.
PIHAK berkuasa mengangkat warga emas yang untuk dipindahkan ke kawasan selamat selepas bandar Phuket banjir. FOTO Reuters.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 1:44 PM