AFP

Bangkok: Pihak berkuasa Thailand memberi lampu hijau untuk melaksanakan model rintis perjalanan tanpa kuarantin ke Phuket.

Industri pelancongan yang sangat penting untuk ekonomi Thailand berdepan kesukaran sejak Mac, selepas kerajaan menangguhkan pelaksanaan skim 'Phuket sandbox' yang membenarkan pelancong sudah divaksin untuk memasuki Thailand tanpa perlu kuarantin selama dua minggu.

Namun, disebabkan gelombang ketiga Covid-19 yang melanda sekitar April lalu, skim berkenaan ditangguhkan sementara.

Pegawai pelancongan dan jawatankuasa Covid-19 Thailand mengumumkan pada Jumaat lalu bahawa skim itu akan dibenarkan semula bermula 1 Julai ini.

Hari ini, lapan hari sebelum pelancarannya, jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata, Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha secara rasmi memberikan lampu hijau untuk skim berkenaan dilaksanakan.

Selain Phuket, destinasi lain yang termasuk dalam skim itu adalah Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Ta.

PEMANDANGAN di Phuket.
PEMANDANGAN di Phuket.

Bagaimanapun, terdapat syarat perlu dipatuhi untuk memastikan skim itu boleh terus dilaksanakan.

Ia termasuk kadar jangkitan di Phuket tidak boleh melebihi 90 kes.

"Setakat ini, jumlah jangkitan di Phuket masih terkawal," kata jurucakap jawatankuasa Covid-19 Thailand, Taweesin Visanuyothin.

Industri pelancongan Thailand menyumbang sehingga 20 peratus kepada pendapatan negara.

Ia turut meliputi sektor lain termasuk restoran, pengangkutan dan perkhidmatan.

Minggu lalu, Prayut mengumumkan perancangannya untuk membuka Thailand kepada pelancong asing menjelang Oktober ini yang mana ia memerlukannya mencapai sasaran suntikan vaksin kepada 50 juta warga Thailand dalam tempoh empat bulan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 7:22 PM