KEADAAN kawasan Taman Desa Damai dan Kampung Sireh di Bukit Mertajam yang terjejas akibat banjir. FOTO Amir Irsyad Omar
KEADAAN kawasan Taman Desa Damai dan Kampung Sireh di Bukit Mertajam yang terjejas akibat banjir. FOTO Amir Irsyad Omar
Mary Victoria Dass

 

PERGERAKAN Puteri UMNO Malaysia bakal menggerakkan 500 hingga 1,000 sukarelawan Skuad Puteri Peduli bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sukarelawan berkenaan akan digerakkan secara berperingkat mengikut keperluan.

Menurutnya, usaha berkenaan juga akan membabitkan kerjasama Puteri Umno dari Pulau Pinang, Perlis dan Perak.

"Antara tempoh yang paling mencabar adalah semasa menghadapi bah dan selepasnya.

"Oleh itu, sukarelawan berkenaan akan digerakkan mengikut fasa tertentu," katanya.

Mas Ermieyati berkata, pihaknya juga akan menyalurkan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di sekitar lokasi terjejas di 14 kawasan parlimen di Pulau Pinang.

"Pada 11 November ini akan dianjurkan program Gelombang Puteri Peduli dan kami akan ambil kesempatan untuk turun padang ke lokasi terjejas pada tempoh ditetapkan," katanya.

Beliau merangkap Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan

berkata, pihaknya juga menasihati agensi dan ejen pelancongan supaya memastikan keselamatan pelancong sepanjang banjir.

"Pelancong asing atau domestik seharusnya dielak daripada menghadapi banjir dan dijauhkan daripada kawasan terjejas.

"Sekiranya berada di tempat terjejas, mereka seharusnya dipindahkan ke lokasi selamat," katanya.

KAKITANGAN Kompleks Kraf Johor bergambar kenangan bersama Mas Ermieyati sempena kunjungannya. FOTO Mary Victoria Dass
KAKITANGAN Kompleks Kraf Johor bergambar kenangan bersama Mas Ermieyati sempena kunjungannya. FOTO Mary Victoria Dass

Beliau berkata demikian di sidang media ketika mengunjungi Kompleks Kraf Johor di Jalan Cenderasari, Larkin, Johor Bahru, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 4:57 PM