SUASANA berkabus di Al-Namas. FOTO AFP
SUASANA berkabus di Al-Namas. FOTO AFP
SUASANA berkabus di Al-Namas. FOTO AFP
SUASANA berkabus di Al-Namas. FOTO AFP
AFP

Riyadh: Bahang cuaca panas Arab Saudi sehingga suhu mencecah 50 darjah Celsius menyebabkan kebanyakan penduduk melarikan diri ke sebuah kawasan pergunungan sejuk digelar 'Bandar Kabus'.

Pada 2020, kajian yang diterbitkan majalah Science Advances menunjukkan wilayah negara Teluk mempunyai iklim paling panas dan paling lembap di dunia.

Menurut pakar, pemanasan global mengakibatkan beberapa bandar di negara Teluk berpotensi tidak dapat didiami sebelum akhir abad ini.

Namun berbeza di Al-Namas, cuaca monsun lembap mengekalkan suhu di bawah 30 darjah Celsius pada waktu siang dan serendah 15 darjah Celsius pada waktu malam.

Ia kerana kabus menghalang matahari di atas bukit yang menghijau hingga ia menjadi destinasi pilihan ramai.

Abdullah Al-Enizi, 45, antara penduduk negara itu yang sanggup menempuh perjalanan kira-kira 12 jam dari ibu negara ke destinasi percutian yang terletak kira-kira 850 kilometer dari barat daya Riyadh.

"Kami melarikan diri dari panas. Di sini, ia sejuk dan hujan serta kabus hampir sepanjang masa.

"Suhu di Riyadh mencecah 46 darjah Celsius, tetapi di sini hanya 20 darjah Celsius di sini," katanya.

Bagi penjawat awam, Khalaf Al-Juheiri,33, dia dari Tabuk, utara Arab Saudi ke Al-Namas untuk menikmati cuaca sejuk bersama isteri dan anak mereka.

"Kami sangat merindui cuaca ini apabila suhu mencecah 40 darjah pada musim panas di Tabuk," katanya.

Pesara, Mushabab Al-Omari berkata, dia sudah berada di situ hampir tiga bulan dan bersedia menetap antara empat atau lima bulan lagi kerana selesa dengan cuacanya yang nyaman.

Sementara itu, pengusaha hotel di Al-Namas, Abdullah Al-Shahri berkata, setiap kali musim panas tiba, tempat itu menjadi pilihan pelancong.

"Musim panas adalah musim kemuncak pelancong bermula dari Mei hingga Oktober," katanya.

Al-Namas menjadi destinasi berharga kepada pihak berkuasa Arab Saudi sebagai alternatif aliran pendapatan baharu selain minyak.

Negara itu kini sedang mempromosikan pelancongan domestik dan antarabangsa.

Promosi 'Visit Saudi' sedang giat dijalankan hanya tiga tahun selepas visa pelancong pertama kali disediakan untuk pelawat asing pada 2019.

Dalam pada itu, data Kementerian Pelancongan menunjukkan penduduk negara itu membelanjakan 80 bilion riyal (RM95.2 bilion) untuk perjalanan domestik tahun lalu menjadikan ia meningkat 30 peratus berbanding 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 11:15 AM