SALJI lebat di sekitar bandar Eropah boleh menyukarkan perjalanan sekiranya tidak bersedia.
SALJI lebat di sekitar bandar Eropah boleh menyukarkan perjalanan sekiranya tidak bersedia.
 JAKET berbulu tebal adalah pilihan terbaik untuk menghangatkan tubuh.
JAKET berbulu tebal adalah pilihan terbaik untuk menghangatkan tubuh.
BUT musim sejuk kalis air banyak beri keselesaan.
BUT musim sejuk kalis air banyak beri keselesaan.

Kerap kali kita merancang untuk melawat ke negara sejuk hingga terlupa betapa banyak perbezaan yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan.

Antara yang paling ketara bagi orang Malaysia adalah ketahanan tubuh terhadap suhu rendah dan cuaca sejuk sepanjang musim salji.

Bayangkan jika terbiasa dengan terik matahari dan suhu antara 28 hingga 35 darjah Celsius, pastinya cuaca sejuk di negara orang menjejaskan mood percutian.

Tip yang disediakan ini mungkin membantu.

1) Kenali musim sejuk

Musim sejuk di Eropah dan negara hemisfera utara bermula akhir Disember setiap tahun dan ber-akhir sekitar 20 Mac tahun berikutnya.

Begitupun beberapa agensi kaji cuaca luar negara meramalkan musim sejuk tahun ini bermula awal berbanding kebiasaan iaitu pertengahan Disember.

Waktu siang bagi negara di Eropah adalah sekitar tujuh hingga lapan jam saja sehari ketika musim sejuk.

Matahari dijangka terbit sekitar jam 8 pagi dan terbenam jam 4 hingga 4.30 petang.

Memandangkan anda memilih percutian musim salji, sudah pasti suasananya sejuk. Suhu musim sejuk di negara Eropah sekitar dua sehingga negatif 15 darjah Celsius.

Namun, jika anda melancong ke Eropah selatan, suhu lebih tinggi sedikit. Jadi, semak suhu sebenar sebelum memulakan perjalanan.

2) Ketahui jenis hujan di musim sejuk

Cuaca musim sejuk sentiasa suram dengan langit kelabu diliputi kabus. Ada hari tertentu matahari akan muncul namun keadaan sedemikian jarang berlaku.

Bersedia dengan keadaan cuaca lembab dan kategori hujan berlainan. Antara yang kerap berlaku adalah hujan rintik berais, hujan sejuk ketika suhu di bawah paras beku dan hujan bercampur kristal salji.

Apabila tiba musim salji, anda perlu bersedia dengan kunjungan salji yang halus dan ringan seperti kapas dan hujan ais.

Begitupun, ada juga bandar di Eropah yang tidak turun salji atau sangat jarang berlaku seperti London.

3) Buat pilihan sesuai

Pertimbangkan dua perkara di atas dan buat sedikit 'homework' untuk memilih negara yang bersesuaian dengan tahap ketahanan dan kesihatan anda.

Jika kesihatan anda mudah terjejas dalam cuaca sejuk, pilih negara tidak bersalji dan jarang hujan dengan suhu sekitar tujuh hingga 15 darjah Celsius.

Namun, jika tubuh anda tahan lasak, nikmati percutian memuaskan di negara yang saljinya turun hampir setiap hari dan suhu negatif 20 darjah Celsius.

4) Senaraikan keperluan

Sebaiknya anda bertanya kepada orang yang sudah berpengalaman ke luar negara di musim sejuk.

Majoriti mereka pasti mengingatkan betapa pentingnya pemilihan pakaian yang betul untuk memastikan tubuh dilindungi, sekali gus mengelakkan anda jatuh sakit di negara orang. Justeru, jadikan senarai berikut sebagai asas rujukan untuk memudahkan perjalanan anda!

* Jaket

Terdapat banyak jenis pakaian musim sejuk yang diperbuat daripada pelbagai jenis material atau fabrik. Antara yang paling sesuai adalah benang bulu (biri-biri) ataupun baju panas kashmir.

Anda boleh memilih kemasan luar daripada kapas atau bahan kalis air, namun ketebalan jaket dan ketepatan saiz adalah penting dititik beratkan.

Cari jaket bertopi dengan bulu untuk keselesaan wajah dan leher serta berpoket untuk memudahkan anda memasukkan tangan.

* Pakaian dalam

Jika anda ke negara yang suhunya sekitar lima darjah Celsius ke bawah, elok bawa pakaian dalam jenis 'thermal wear' untuk keselesaan jangka panjang.

Sarung baju dari jenis kain kapas yang tebal dan seluar jeans sebelum mengenakan jaket musim sejuk anda.

Pilih stoking dan skaf bersesuaian untuk keselesaan.

* Kasut dan but

Ini paling penting. Sekiranya kaki anda sejuk dan basah akibat dimasuki air ataupun salji, kemungkinan besar tubuh anda jadi lesu.

Pastikan anda membeli dan memakai kasut yang kalis air. Pastikan cantuman atau jahitan antara tapak dan kasut tidak boleh diserap air.

* Sarung tangan

Jika hendak bermain salji, beli sarung tangan yang kalis air atau dari jenis kulit. Ini kerana sarung tangan daripada benang kapas tidak cukup menghangatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:03 AM