Ahli kesatuan sekerja berhimpun menentang pelantikan Ranil Wickremesinghe sebagai pemangku presiden. - FOTO EPA
Ahli kesatuan sekerja berhimpun menentang pelantikan Ranil Wickremesinghe sebagai pemangku presiden. - FOTO EPA
Reuters

Colombo: Pemimpin pembangkang Sri Lanka, Sajith Premadasa, menarik diri daripada pertandingan presiden dan menjanjikan sokongan kepada calon pembangkang yang akan mencabar pemangku presiden, Ranil Wickremesinghe.

Parlimen Sri Lanka yang mempunyai 225 ahli akan mengundi esok bagi memilih presiden baharu untuk menangani krisis ekonomi dan politik terburuk negara itu, selepas Parlimen menyenarai pendek tiga calon hari ini.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana sokongan bagi Wickremesinghe, 73, dan Dullas Alahapperuma, 63, miliki di Parlimen.

Seorang lagi calon presiden ialah Anura Kumara Dissanayaka, ketua parti sayap kiri Janatha Vimukti Peramuna.

Wickremesinghe amat tidak popular dalam kalangan penunjuk perasaan yang menyerbu kediaman dan pejabatnya awal bulan ini, selepas menyerbu kediaman bekas Presiden, Gotabaya Rajapaksa, sehingga terpaksa melarikan diri ke luar negara.

Namun, Wickremesinghe mempunyai sokongan sebahagian besar parti majoriti di Parlimen manakala ahli Parlimen lima penggal, Alahapperuma, juga bekas wartawan, disokong sebahagian parti pemerintah Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP) serta parti pembangkang.

Premadasa berkata parti pembangkang utamanya, Samagi Jana Balawegaya bersama rakan pembangkang akan bekerja keras untuk menjadikan Alahapperuma sebagai pemenang.

Wickremesinghe mengambil alih jawatan pemangku presiden minggu lalu selepas kebangkitan rakyat menentang kenaikan harga dan kekurangan makanan dan bahan api hingga memaksa Rajapaksa melarikan diri ke Singapura dan meletakkan jawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 6:14 PM