Anggota tentera Sri Lanka berkawal berhampiran bangunan parlimen. - FOTO AFP
Anggota tentera Sri Lanka berkawal berhampiran bangunan parlimen. - FOTO AFP
BERNAMA

Moscow: Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa masih belum berlepas dari Maldives ke Singapura dan belum memberikan surat peletakan jawatannya kepada speaker parlimen di Colombo, lapor Sputnik memetik akhbar dalam talian Daily Mirror pada Khamis, memetik sumber.

Rajapaksa dan isterinya bersama dua pegawai keselamatan tidak menaiki penerbangan tetap ke Singapura pada malam Rabu kerana masalah keselamatan.

Mereka kini bersiap sedia untuk berlepas menaiki jet peribadi, kata akhbar dalam talian itu.

Pihak berkuasa Maldives telah meningkatkan kehadiran keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana sejak presiden Sri Lanka itu merancang untuk berlepas dari negara itu tidak lama lagi, menurut India Today.

Pada Rabu semasa mesyuarat pemimpin parti parlimen, Speaker Parlimen Sri Lanka Mahinda Yapa Abeywardena menyatakan bahawa Rajapaksa telah, dalam perbualan telefon, mengatakan bahawa beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatannya sebelum tengah malam.

Akhbar Sri Lanka Newsfirst melaporkan bahawa dengan ketiadaan surat peletakan jawatan rasmi, speaker kini meneliti peruntukan undang-undang untuk mengumumkan bahawa presiden telah mengosongkan jawatannya.

Ada kemungkinan Rajapaksa boleh meletak jawatannya selepas tiba di Singapura, kata Newsfirst, memetik sumber yang tidak dinamakan.

Sri Lanka terperangkap dalam kebuntuan politik yang disebabkan oleh krisis ekonomi terburuk negara itu sejak mencapai kemerdekaan pada 1948. Negara itu telah dilanda protes antikerajaan yang memuncak pada Sabtu apabila aktivis di Colombo menguasai kediaman presiden dan perdana menteri, menuntut peletakan jawatan mereka.

Rajapaksa, yang meninggalkan negara itu lewat Selasa, melantik Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe sebagai presiden sementara.

Wickremesinghe telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan perintah berkurung di Colombo. Parlimen akan mengadakan pilihan raya presiden pada 20 Julai dan melantik kerajaan sementara yang akan kekal berkuasa sehingga pilihan raya umum akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 4:05 PM