KONVOI kenderaan membawa Rajapaksa meninggalkan kompleks VIP di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, Colombo. FOTO EPA
KONVOI kenderaan membawa Rajapaksa meninggalkan kompleks VIP di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, Colombo. FOTO EPA
AFP

Colombo: Bekas presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa kembali ke negara itu semalam, kata seorang pegawai lapangan terbang, tujuh minggu selepas dia melarikan diri ketika krisis ekonomi terburuk di pulau itu.

Rajapaksa disambut dengan bunga oleh menteri dan ahli politik yang mengalu-alukan ketika beliau tiba di lapangan terbang antarabangsa utama di sini, tambah pegawai itu.

Sambutan berkenaan dikatakan tanda pengaruh Rajapaksa kekal di negara Lautan Hindi itu.

"Terdapat gesaan ahli politik kerajaan untuk mengalungkan bunga ketika dia keluar dari pesawat," kata pegawai itu kepada AFP.

Rajapaksa melarikan diri dari Sri Lanka dengan pengiring tentera pada pertengahan Julai selepas orang ramai yang tidak bersenjata menyerbu kediaman rasminya, berikutan demonstrasi berbulan-bulan susulan krisis ekonomi.

Beliau menghantar surat peletakan jawatannya dari Singapura, sebelum terbang ke Thailand, dan memohon penggantinya Ranil Wickremesinghe, bertujuan memudahkan urusannya untuk kembali ke Sri Lanka .

Pemimpin berusia 73 tahun itu tiba dari Bangkok melalui Singapura, dengan penerbangan komersial, menamatkan pengasingan diri selama 52 hari.

"Beliau tinggal di sebuah hotel di Thailand sebagai 'banduan maya' dan berminat untuk kembali," seorang pegawai pertahanan, yang enggan namanya didedahkan, memberitahu AFP.

"Kami baru sahaja mewujudkan bahagian keselamatan baharu untuk melindunginya selepas kepulangannya.

"Unit itu terdiri daripada komando tentera dan polis," katanya.

Ahli politik pembangkang menuduh Wickremesinghe melindungi keluarga Rajapaksa yang pernah berkuasa.

Perlembagaan Sri Lanka menjamin khidmat pengawal peribadi, kenderaan dan perumahan untuk bekas presiden, termasuk Gotabaya dan abangnya, serta seorang lagi bekas presiden, Mahinda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 10:10 AM