ASKAR Thailand mengawal kawasan sempadan bandar Mae Sam Laep yang bersempadan dengan Myanmar. FOTO AFP
ASKAR Thailand mengawal kawasan sempadan bandar Mae Sam Laep yang bersempadan dengan Myanmar. FOTO AFP
AFP

Yangon: Satu kumpulan pemberontak mendakwa serangan udara berterusan tentera junta menyebabkan 12,000 orang terpaksa melarikan diri.

Akhir bulan lalu, kumpulan bersenjata Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU) merampas pangkalan tentera di timur negeri Kayin, menyebabkan 10 askar terkorban.

Junta membalasnya dengan serangan udara.

KNU menentang junta tentera Myanmar yang sebelum ini menggulingkan pemimpin Aung San Suu Kyi daripada pemerintahan, dua bulan lalu.

Selain itu, kumpulan itu didakwa melindungi ratusan aktivis anti-rampasan kuasa.

Dalam pada itu, media tempatan etnik Karen dan kumpulan hak asasi manusia melaporkan beberapa serangan udara di negeri itu, sepanjang minggu lalu.

Ia menyebabkan kira-kira 3,000 melarikan diri ke Thailand pada Isnin selepas menyeberangi Sungai Salween.

Bagaimanapun, majoriti daripada mereka kembali ke Myanmar pada Rabu.

Wilayah di kawasan sempadan Myanmar dikawal oleh kumpulan bersenjata etnik yang sudah lama mendesak kuasa autonomi lebih luas.

Sempadan di negeri utara Kachin- dikuasai oleh Tentera Kemerdekaan Kachin - juga menunjukkan peningkatan aktiviti ketenteraan, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 2:16 PM