Agensi

Yangon: Pertempuran sengit antara tentera Myanmar dengan pemberontak di sempadan China baru-baru ini mengorbankan 47 askar negara itu, sekali gus menyukarkan harapan untuk mengadakan gencatan senjata di negara yang berdepan begitu banyak konflik dengan etnik minoriti.

Beijing sudah dimaklumkan mengenai pertempuran yang berlarutan sejak 9 Februari lalu, lapor akhbar tempatan Global New Light.

Perkembangan itu menandakan kemunculan semula konflik dengan pemberontak etnik Cina di wilayah Kokang di negeri Shan.

Pemberontak Kokang yang lengkap dengan senjata berat, termasuk mesingan antipesawat cuba menawan Laukkai, ibu negeri wilayah Kokang yang terletak hanya beberapa kilometer dari sempadan China, tetapi dipatahkan tentera Myanmar.

“Setakat ini, pertempuran itu meragut nyawa 47 tentera kerajaan. Seramai 73 lagi cedera dan empat kenderaan musnah,” lapor akhbar berkenaan.

Menurut akhbar milik kerajaan itu, 200 pemberontak Kokang menyerang sebuah pangkalan tentera di kawasan Kongyang kelmarin. Tentera bertindak balas dengan melancarkan lima serangan udara.

Penganalisis bebas Richard Horsey berkata, pemberontak Kokang dilihat ‘cukup berani’ dalam melancarkan serangan berkenaan.

Dia menjangka pertempuran itu berterusan.

Konflik antara tentera dengan etnik minoriti bersenjata turut berlaku di beberapa bahagian lain di Shan dan negeri Kachin di utara Myanmar, mencetuskan keraguan terhadap keupayaan kerajaan Myanmar untuk mengadakan gencakan senjata di seluruh negara.

Di negeri Kachin, pertempuran sengit antara pemberontak tempatan dengan tentera kerajaan yang berlaku sejak 2011 menyebabkan 100,000 penduduk terpaksa berpindah.

Kekacauan semakin merebak di beberapa bahagian di negeri Shan.

Minggu lalu, Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA) menuduh tentera Myanmar menggunakan helikopter untuk menyerang kedudukan mereka.

Myanmar yang mempunyai lebih 130 etnik minoriti yang diiktiraf berdepan dengan perang saudara paling lama di dunia dengan keganasan meletus di seluruh negara sejurus selepas merdeka pada 1948.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:15 AM