PESERTA demonstrasi menunjukkan poster Aung San Suu Kyi ketika menyertai tunjuk perasaan di Monywa, Sagaing, Myanmar
PESERTA demonstrasi menunjukkan poster Aung San Suu Kyi ketika menyertai tunjuk perasaan di Monywa, Sagaing, Myanmar
Syah Rul Aswari Abdullah

KONFLIK di Myanmar kini semakin meruncing. Setakat 1 April, lebih 520 orang awam terbunuh di negara itu. Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP) mengesahkan 521 orang awam maut setakat malam Selasa lalu, tetapi tidak menolak angka sebenar mungkin lebih tinggi.

Mereka terdiri daripada individu yang menyertai tunjuk perasaan bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera Myanmar.

Semuanya bermula pada pagi 1 Februari lalu apabila tentera menahan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi dan Presiden Win Myint. Tentera kemudian mengisytiharkan darurat selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden.

s

Tentera melaksanakan kudeta itu kerana menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu yang menyaksikan parti Liga Kebangsaan untuk Dem okrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar.

Susulan itu, demonstrasi besar-besaran diadakan di Myanmar sebagai membantah rampasan kuasa berkenaan.

Minggu lalu, tentera junta turut melancarkan serangan udara yang mengorbankan enam orang di negeri timur, Karen, menurut Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU), salah satu kumpulan bersenjata di Myanmar.

Ia menyebabkan ribuan etnik Karen lari ke sempadan Thailand.

Tiga kumpulan pemberontak bersenjata - Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta'ang (TLNA), Tentera Pakatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) dan Tentera Arakan (AA) – mengeluarkan kenyataan bersama dengan memberi amaran untuk tindak balas.

Jika itu berlaku, Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia (FIDH) memberi amaran ia akan mengheret negara itu ke kancah perang saudara.

Washington dalam reaksinya pula sudah menggantung perjanjian perdagangan dengan negara itu. Ia menasihatkan untuk diplomat, kakitangan dan ahli keluarga mereka keluar dari Myanmar. Pada masa sama, Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa dunia untuk mengenakan tekanan kepada junta.

Ketika ini, demonstrasi masih berlaku dan lebih ramai orang awam dijangka terkorban. Menurut laporan media asing, pasukan keselamatan menggunakan kekerasan termasuk melepaskan gas pemedih mata dan tembakan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan.

Orang awam dan petugas media ditahan di penjara sebelum dibebaskan. Liputan internet pula disekat dalam usaha junta untuk mengekang demonstrasi. Namun, ia tidak menghalang daripada video dan gambar huru-hara itu tersebar di seluruh dunia.

Suu Kyi pula dihadapkan ke mahkamah dengan beberapa pertuduhan tidak masuk akal. Selain itu, pemimpin berusia 75 tahun itu dijangka berdepan dengan pertuduhan lebih berat yang dilihat sebagai usaha untuk menghalang wanita itu terus bergiat dalam politik.

Persoalannya kenapa tentera merampas kuasa dan mengapa ia berlaku sekarang?

Ia bertitik tolak daripada usaha tentera untuk mengekalkan kuasa. Ketika Myanmar mula melakukan perubahan politik daripada pemerintahan diktator kira-kira 10 tahun lalu, tentera pada 2008 sudah menggubal perlembagaan untuk menjamin kedudukan jeneral.

Antara lain, Presiden Myanmar mesti mempunyai pengalaman tentera dan presiden sendiri, pasangan dan anaknya adalah bukan rakyat negara asing. Justeru, Suu Kyi yang dua anaknya adalah warganegara United Kingdom tidak boleh dilantik sebagai presiden.

Menurut perlembagaan, jawatan menteri pertahanan dan menteri dalam negeri perlu dijawat oleh tentera. Ini belum dikira bahawa 25 peratus (atau 166 daripada 664) kerusi Parlimen diperuntukkan kepada tentera, sekali gus memberi kuasa veto kepada tentera untuk mengawal dasar pertahanan dan polisi keselamatan dalam negeri.

Pada pilihan raya umum November lalu, parti ditunjangi tentera, Parti Penyatuan dan Pembangunan Kesatuan (USPD) hanya memerlukan 167 kerusi untuk ditambah dengan 166 kerusi diperuntukkan kepadanya untuk menang. Parti NLD pimpinan Suu Kyi pula perlu memperoleh 333 kerusi.

Apa yang terjadi sebaliknya apabila pengundi memberikan NLD dengan 396 kerusi manakala USPD hanya memperoleh 33 kerusi lagi. Justeru, ia satu tamparan hebat kepada tentera yang dikenali di negara itu sebagai Tatmadaw.

Jadi, berbalik kepada persoalan asal kenapa rampasan kuasa itu dilaksanakan pada 1 Februari? Ia sebenarnya dilakukan beberapa jam sebelum Parlimen baharu bersidang. Sesiapa pun boleh meneka... usaha itu bagi mengelak sebarang usul daripada dibahas, dilulus dan diwartakan sebagai undang-undang, sekali gus terus mengikis kuasa tentera dalam pentadbiran.

Penulis Penolong Pengarang Berita, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 5:59 AM