ANTARA penduduk Myanmar yang melarikan diri selepas tentera melancarkan serangan menyasarkan anggota kumpulan bersenjata Karen National Union (KNU). FOTO Agensi
ANTARA penduduk Myanmar yang melarikan diri selepas tentera melancarkan serangan menyasarkan anggota kumpulan bersenjata Karen National Union (KNU). FOTO Agensi
BERNAMA

Bangkok: Kira-kira 3,000 pelarian Myanmar, yang melarikan diri ke Thailand selepas pesawat tentera menyerang perkampungan berhampiran sempadan yang dikawal sebuah kumpulan etnik bersenjata, masih berada di zon sempadan itu di bawah kawalan askar Thailand, lapor Sputnik memetik laporan media pada Isnin.

Pada malam Ahad, jet pejuang Myanmar melancarkan tiga serangan udara, mengakibatkan tiga penduduk terbunuh dan lebih sepuluh lagi cedera.

Serangan itu menyasarkan anggota Karen National Union (KNU), kumpulan bersenjata yang menguasai wilayah tenggara, memaksa hampir 3,000 orang melarikan diri.

Menurut PBS Thailand, pelarian yang masuk sejauh beberapa kilometer ke dalam wilayah Thailand diarahkan kembali ke zon sempadan oleh pihak berkuasa Thailand .

Laporan media lain yang memetik aktivis hak asasi manusia menyatakan, tentera Thailand memaksa pelarian untuk pulang ke Myanmar, manakala jet pejuang Tentera Udara Myanmar terus mengawal ruang udara untuk memburu anggota KNU.

Selepas rampasan kuasa tentera di Myanmar pada 1 Februari, negara itu menyaksikan bantahan ganas dan pertempuran antara pasukan keselamatan dan rakyat yang menentang rejim tentera.

Konflik bersenjata antara etnik Karen dan kerajaan Myanmar tercetus sejak 1949, selepas Myanmar memperoleh kemerdekaan daripada United Kingdom, dan sudah berlarutan selama lebih 50 tahun.

Mencari hak autonomi dan budaya, KNU terbabit dalam perang saudara dan siri pemberontakan etnik menentang kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 2:28 PM