HENDERSON tidak dapat menahan kesedihan selepas dapat menghidu bau kopi selepas dua tahun. FOTO Agensi
HENDERSON tidak dapat menahan kesedihan selepas dapat menghidu bau kopi selepas dua tahun. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Selepas hampir dua tahun tidak dapat menghidu atau merasa dengan betul, bekas pesakit Covid-19, Jennifer Henderson akhirnya mendapat semula derianya susulan rawatan Stellate Ganglion Block (SGB).

Portal Today.com melaporkan, Henderson, 54, kehilangan deria rasa dan bau akibat gejala 'long Covid' selepas mendapat jangkitan virus itu pada Januari 2021.

Dia turut mengalami simptom lain yang berlarutan seperti sakit kepala dan keletihan, tetapi ia hilang selepas seminggu, namun masalah deria rasa dan bau itu berterusan.

Bagi dirinya yang sebelum ini suka memasak dan menikmati bau bunga di halaman rumah berkata, ia pengalaman mengerikan kerana kebanyakan makanan dirasakan, pelik.

Rasa bawang putih dan pisang menjadi seperti petrol dan logam, sos atau mentega kacang terasa seperti bahan kimia, manakala ayam terasa seperti daging reput.

HENDERSON (kiri) antara orang yang terkesan dengan ‘long Covid’. FOTO Agensi
HENDERSON (kiri) antara orang yang terkesan dengan ‘long Covid’. FOTO Agensi

Henderson mencuba pelbagai latihan bau, akupunktur dan teknik holistik lain tetapi ia tidak membantu sehingga dia mengetahui mengenai rawatan SBG oleh kumpulan sokongan dalam talian.

Dia mendapatkan rawatan SBG iaitu suntikan pada saraf di leher yang biasa digunakan untuk pelbagai penyakit dan gangguan tekanan akibat trauma, pada Disember tahun lalu.

Berikutan rawatan itu, wanita itu mendapat semula deria rasa dan bau walaupun belum pulih sepenuhnya.

Keputusan rawatan itu turut dirakam dalam video yang mendapat hampir 500,000 tontonan di TikTok.

Dalam video itu, seorang jururawat membawakan secawan kopi dan memintanya untuk menghirup sebelum Henderson dilihat menitiskan air mata kerana buat pertama kali dapat menikmati bau kopi selepas hampir dua tahun lalu.

"Ia bau terbaik saya pernah hidu dan saya hanya menangis. Saya gembira mendapat semula hidup saya yang dulu," katanya kepada NBC News.

Klinik Cleveland memberitahu wanita itu sudah mendapatkan dua suntikan untuk rawatan itu.

Pakar Pengurusan Pesakit klinik itu, Dr Christina Shin berkata, Henderson antara kira-kira 30 pesakit Covid-19 yang menerima rawatan dan sebahagiannya berjaya dengan rawatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 12:09 PM