SIMPTOM sinusitis biasanya tertumpu di sekitar hidung dan tekak dan jarang sekali menyebabkan kesesakan nafas. - FOTO Google
SIMPTOM sinusitis biasanya tertumpu di sekitar hidung dan tekak dan jarang sekali menyebabkan kesesakan nafas. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


Ketika negara memerangi gelombang keempat Covid-19, simptom seperti kehilangan deria bau, keletihan melampau dan sakit kepala ada kalanya sering disalahertikan sebagai simptom pandemik itu.

Namun, tahukah anda bahawa masalah sinusitis juga mempunyai simptom yang hampir sama seperti itu?

Baik sinusitis ataupun Covid-19, masing-masing memberi kesan ke atas saluran pernafasan.

Terdapat beberapa cara untuk membezakan penyakit itu dan ia bermula dengan memahami secara jelas dua keadaan berkenaan.

Secara amnya, sinusitis didefinisikan sebagai keradangan membran mukos yang menyelaputi paranasal sinus.

Sinusitis berulang adalah disebabkan rinitis yang alergik, di mana pembukaan sinus tersekat oleh kehadiran mukus, polips atau pembengkakan mukosal.

Ia juga boleh disebabkan keabnormalan struktur dalam hidung yang menjejaskan aliran sinus yang lancar termasuk satu septum hidung menyimpang, lelangit sumbing dan adenoid bengkak.

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) yang juga Pakar Bedah Kepala dan Leher, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Chai Chiun Kian berkata, baik sinusitis atau Covid-19, kedua-duanya boleh menyebabkan demam, hidung tersumbat, hidung berhingus, sakit kepala dan kehilangan deria bau.

Begitupun kata Dr Chai, kehilangan deria bau atau rasa meningkatkan lagi indeks kebarangkalian dijangkiti Covid-19.

"Ada sejumlah pesakit yang agak signifikan dengan jangkitan Covid-19 yang disahkan mengalami masalah kehilangan deria bau.

"Dalam kes yang lebih serius, pesakit mungkin mengalami kesesakan nafas apabila penyakit itu merebak ke paru-paru, mengakibatkan pneumonia.

"Secara kontrasnya, simptom sinusitis biasanya tertumpu di sekitar hidung serta tekak dan jarang sekali menyebabkan kesesakan nafas," katanya.

JIKA sinusitis tidak dirawat, ia boleh mendatangkan bahaya terutama terhadap pesakit yang mempunyai imuniti lemah. - FOTO Google
JIKA sinusitis tidak dirawat, ia boleh mendatangkan bahaya terutama terhadap pesakit yang mempunyai imuniti lemah. - FOTO Google

PESAKIT perlu menjaga kesihatan sinus dengan mengekalkan pengudaraan yang baik. - FOTO Google
PESAKIT perlu menjaga kesihatan sinus dengan mengekalkan pengudaraan yang baik. - FOTO Google

Menurut Dr Chai, kedua-dua keadaan itu memerlukan perhatian perubatan pada tahap yang berlainan dan perlu ditangani serta-merta.

Namun, sekiranya pesakit belum dapat membezakan kedua-duanya, beliau menasihati supaya mereka segera menjalani ujian RT-PCR Covid-19 untuk pengesahan diagnosa.

Dalam pada itu, sebaik sahaja seorang pesakit didiagnos dengan sinusitis, rawatan awal adalah cara terbaik untuk menyelesaikannya tanpa komplikasi tambahan.

Antara simptom biasa yang pesakit perlu sedari termasuk discaj hidung yang luar biasa, hidung tersumbat, kesakitan muka di bahagian dahi dan pipi atau sakit kepala.

Pakar Perunding ENT merangkap Pakar Bedah Kepala dan Leher, SMCV, Dr Tang Mee Ling pula mengesyorkan supaya pesakit menjaga kesihatan sinus mereka dengan mengekalkan pengudaraan yang baik.

Selain itu, pesakit juga perlu menghapuskan risiko serta faktor persekitaran seperti pencemaran udara, habuk, hama dan berhenti merokok jika mereka merokok.

Kata Dr Mee Ling, ada beberapa petua biasa yang pesakit boleh amalkan jika simptom mereka tidak begitu teruk.

Antaranya, menghidu wap air dan mengamalkan aliran air bergaram di hidung yang mungkin dapat membantu untuk mengurangkan masalah hidung tersumbat dan discaj hidung dengan melembabkan kaviti hidung.

"Selain itu, pesakit sinusitis juga boleh mengamalkan makanan yang kaya dengan bawang putih kerana ia boleh memberikan kesan dekongestan untuk jangka pendek.

"Untuk mengurangkan kesakitan muka pula, gunakan tuala suam di sekitar hidung, pipi dan mata bagi melegakan sedikit dari kesakitan.

"Bagaimanapun, jika simptom hidung masih berterusan atau pesakit mengalami demam, adalah dinasihatkan supaya mereka mendapatkan rawatan perubatan awal dengan segera," katanya.

Pembedahan juga mungkin diperlukan untuk mengurangkan simptom berkenaan dan ia termasuk prosedur seperti 'Septoplasty', 'Polypectomy', 'Inferior turbinate hypertrophy', 'Functional Endoscopic Sinus Surgery' (FESS) dan 'Adenoid curettage'.

Ini kerana jika sinusitis tidak dirawat, ia boleh mendatangkan bahaya terutama terhadap pesakit yang mempunyai imuniti lemah dan mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi.

Jangkitan sinusitis juga mungkin menjadi lebih buruk dan merebak melangkaui dinding tulang sinus ke dalam struktur yang lebih penting di sekelilingnya seperti mata, otak, telinga atau tekak dan lebih buruk lagi, berlaku penanahan (pengumpulan nanah).

PESAKIT sinusitis juga boleh mengamalkan makanan yang kaya dengan bawang putih. - FOTO Google
PESAKIT sinusitis juga boleh mengamalkan makanan yang kaya dengan bawang putih. - FOTO Google

Keadaan itu boleh membawa kepada orbit bernanah (nanah dalam ruang bola mata), meningitis (jangkitan dalam selaput otak), otak bernanah (nanah dalam otak), jangkitan telinga tengah dan faringitis (jangkitan tekak).

Menurut Dr Mee Ling lagi, indikator utama keadaan menjadi semakin buruk adalah kehadiran demam panas dan kesejukan yang melampau.

Katanya, dalam kes meningitis atau otak bernanah, pesakit mungkin berasa mengantuk, mengalami sawan atau kekejangan, malah mungkin jatuh dalam keadaan koma akibat daripada tekanan yang meningkat dalam otak.

"Pesakit perlu dimasukkan ke hospital, penjagaan intensif dan dos antibiotik intravenus tinggi selain pembedahan untuk mengeluarkan nanah berkenaan.

"Justeru, adalah penting untuk berjumpa pakar ENT jika 'selesema' anda tidak sembuh dalam tempoh seminggu hingga dua minggu atau menjadi semakin teruk walaupun sudah mengambil ubat selesema biasa.

"Rawatan sinusitis awal sentiasa lebih baik daripada merawat komplikasi yang timbul disebabkan sinusitis," katanya.

Sementara itu, penilaian akan bermula di klinik pesakit luar, di mana skop dengan satu kamera (endoskop hidung) akan digunakan untuk memeriksa kaviti hidung.

Bergantung kepada penemuan dari prosedur skop itu, pesakit itu kemudian dinasihatkan pakar perunding mengenai rawatan perubatan atau pembedahan yang perlu dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 7:00 AM