TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Seramai 2,712 pesakit 'Long Covid' dirujuk ke Perkhidmatan Khas Rehabilitasi Pesakit Luar Covid-19 (CROSS) di Hospital Sungai Buloh, dalam tempoh empat hingga 12 minggu selepas dijangkiti.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu dicatat bagi tempoh November 2020 sehingga September lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 984 atau 36.3 peratus kes pulih sepenuhnya daripada gejala yang dialami.

"Sebanyak 1,715 (63.2 peratus) kes masih mengalami gejala berterusan, 13 kes (0.05 peratus) berakhir dengan kematian.

"Namun, semakan rekod perubatan mendapati terdapat faktor komorbid lain menyumbang kepada kes kematian ini, iaitu membabitkan penyakit kanser yang sudah merebak, kegagalan buah pinggang, serangan jantung, jangkitan kuman dalam darah serta jangkitan paru-paru," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 'Long Covid' adalah keadaan yang mana bekas pesakit Covid-19 masih menunjukkan tanda dan gejala selepas jangkitan Covid-19.

Katanya, terdapat dua tempoh bagi Long Covid iaitu 'Ongoing Symptomatic Covid-19' iaitu tanda dan gejala selepas jangkitan Covid-19 dalam tempoh empat minggu sehingga 12 minggu.

Sementara, sindrom pasca Covid-19 pula adalah tanda dan gejala wujud ketika atau selepas jangkitan Covid-19 yang berterusan melepasi 12 minggu yang mana ia tidak dapat dijelaskan oleh sebarang diagnosis lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, analisa ke atas pangkalan data yang sama mendapati seramai 2,324 pesakit sudah menjalani penilaian melepasi 12 minggu selepas jangkitan Covid-19.

Katanya, 97.5 peratus daripada mereka adalah pesakit yang pernah mengalami jangkitan serius Covid-19 iaitu kategori 4 dan 5.

Mengulas lanjut, katanya, penilaian terhadap kes itu mendapati sebanyak 914 (39.4 peratus) pulih sepenuhnya daripada gejala yang dialami, manakala 1,410 (60.6 peratus) kes masih mengalami gejala berterusan yang mana kebanyakan mereka melaporkan lebih daripada satu gejala.

Dr Noor Hisham berkata, lima gejala paling kerap dilaporkan adalah kelesuan (71.8 peratus), kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti (61.9 peratus), batuk (13.6 peratus), kesakitan (13.2 peratus) dan kesukaran tidur nyenyak (11 peratus).

"Turut dilaporkan, gejala kelemahan anggota (7.2 peratus), kebas (6.5 peratus), keresahan (4.2 peratus), kekabutan otak (2.6 peratus), lesi kulit dan keguguran rambut (1.7 peratus), kehilangan deria rasa (1.3 peratus), kehilangan deria bau (1.1 peratus), kekurangan fungsi seksual (0.7 peratus), pening kepala (0.5 peratus) dan ketiadaan haid (0.1 peratus)," katanya.

Beliau berkata, analisa terhadap fungsi yang dialami oleh pesakit Long Covid selepas 12 minggu jangkitan mendapati 61.1 peratus tidak mengalami kehilangan fungsi; 25.6 peratus mengalami kesukaran fungsi yang boleh diabaikan; 8.9 peratus mengalami kesukaran fungsi yang ringan; 3.7 peratus mengalami kesukaran fungsi yang ketara tetapi tidak memerlukan bantuan individu lain dan 0.7 peratus mengalami kesukaran fungsi yang sangat ketara sehingga memerlukan bantuan individu lain.

Katanya, tanpa rawatan khusus, keadaan itu akan berterusan dan tempoh masa lama diperlukan bagi individu kembali ke tahap fungsi sepenuhnya.

"Secara tidak langsung, ia akan menjejaskan kualiti kehidupan individu pasca jangkitan Covid-19.

"Selain itu, Long Covid juga boleh menyebabkan implikasi serius seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti, dan hilang sumber pendapatan.

"Bebanan sosioekonomi bukan sahaja memberi impak kepada pesakit Long Covid, malah turut dirasai oleh ahli keluarga, masyarakat serta negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 9:06 PM