AFP

Los Angeles: Pihak berkuasa di bandar persisiran pantai, Orange County, bertungkus lumus untuk menangani tumpahan minyak dari platform minyak luar persisir, untuk mengurangkan kesan insiden itu terhadap alam sekitar.

Menurut pihak berkuasa, sehingga Ahad, tumpahan 480,000 liter minyak mentah itu dianggarkan meliputi kawasan sehingga kira-kira 5.8 batu nautika (10 kilometer).

Selain itu, tumpahan minyak itu dikesan sepanjang pantai popular di Huntington Beach dan Newport Beach.

"Tumpahan itu menjejaskan Huntington Beach, dengan kesan ekologi yang besar di pantai serta Huntington Beach Wetlands," katanya.

KESAN tar daripada tumpahan minyak berkenaan di Huntington Beach. FOTO EPA
KESAN tar daripada tumpahan minyak berkenaan di Huntington Beach. FOTO EPA

Menurut Pengawal Pantai, tumpahan dikesan mulai 9 pagi pada Sabtu.

Menjelang awal pagi Ahad, minyak dan bangkai haiwan mula dilihat terdampar di Huntington Beach, bandar dengan 200,000 penduduk yang terletak kira-kira 64.4 kilometer di selatan Los Angeles.

KESAN minyak pada batu berhampiran kawasan pantai di Huntington Beach. FOTO AFP
KESAN minyak pada batu berhampiran kawasan pantai di Huntington Beach. FOTO AFP

Pegawai Pejabat Tindak Balas dan Pencegahan Tumpahan di California, Leftenan Christian Corbo pada satu sidang media pula mengingatkan penduduk supaya tidak menyentuh atau cuba bertindak sendiri untuk menyelamatkan hidupan liar.

Sebaliknya, mereka diminta memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai sebarang haiwan yang terjejas dengan tumpahan minyak itu.

"Buat masa ini, kita ada pasukan peninjau yang melakukan penelitian dan pemerhatian di pantai untuk mengesan sebarang hidupan liar yang mungkin terkesan dengan tumpahan minyak itu," katanya.

KERJA membersihkan tumpahan minyak di Talbert Marshlands. FOTO AFP
KERJA membersihkan tumpahan minyak di Talbert Marshlands. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 4:02 PM