Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kawasan pesisir pantai sepanjang kira-kira dua kilometer berhampiran bangsal nelayan Paramount, Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini, dicemari dengan tumpahan minyak berwarna hitam, hari ini.

Keadaan itu dikesan nelayan yang hendak turun ke laut sekitar 6.30 pagi.

Nelayan, S Selvarraju, 63, berkata, pada mulanya dia belum menyedari tumpahan minyak berkenaan berikutan keadaan bergelap dan menyangka bau kuat itu disebabkan berlaku kebocoran tangki minyak bot nelayan berhampiran.

Menurutnya, pada 7 pagi barulah dia terlihat tompokan minyak berwarna hitam sejauh 200 meter menganjur ke laut dan kira-kira dua kilometer di sepanjang kawasan pantai.

"Ketika itu keadaan minyak sangat pekat dan baunya tidak menyenangkan.

"Beberapa jam kemudian ketika air pasang, minyak terbabit hanyut ke kawasan pesisir pantai dan mendap ke dalam pasir," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selvarraju berkata, berikutan itu, dia bersama enam rakan nelayan tidak dapat turun ke laut kerana minyak terbabit turut melekat pada bot.

Katanya, apabila keadaan itu berlaku, ikan mati dan dikhuatiri menyebabkan kepupusan beberapa spesies kerang di kawasan itu yang menjadi punca pendapatan nelayan.

"Kesan minyak itu dijangka akan hilang sebulan lagi dan kami tidak tahu bilakah dapat turun semula ke laut.

"Kesan minyak ini mendap ke dalam pasir setebal kira-kira tiga sentimeter dan kesannya boleh dilihat dengan jelas.

"Kami tidak mahu menuduh sesiapa dan akan membuat laporan kepada pihak berkuasa secepat mungkin bagi mengambil tindakan," katanya yang menjadi nelayan sejak 15 tahun lalu.

Tinjauan di tempat kejadian mendapati hitam minyak terbabit sudah mendap ke dalam pasir.

Beberapa ekor ikan mati dilihat terdampar di tepi pantai manakala kerang yang mudah diperoleh di pesisir pantai sudah lenyap.

SELVARRAJU menunjukkan mendapan minyak hitam di pesisir pantai di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
SELVARRAJU menunjukkan mendapan minyak hitam di pesisir pantai di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 2:48 PM