Mohd Amin Jalil


Seremban: Kes pencemaran pantai akibat tumpahan minyak hitam sudah diatasi namun punca kejadian masih misteri hingga kini.

Setakat semalam, Pantai Cermin di Batu 10, Port Dickson, yang terjejas akibat tumpahan minyak minggu lalu sudah selesai dibersihkan bagaimanapun lokasi berkenaan masih belum dibuka bagi kunjungan orang ramai.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, pihak berkuasa masih meneruskan pemantauan di kawasan itu sebelum dibuka kepada pengunjung.

"Pemantauan di Pantai Cermin masih dilakukan oleh pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan ianya benar-benar pulih daripada tumpahan minyak yang dikesan pada 12 Oktober lalu.

"Setakat ini, keadaan pantai berkenaan dilihat semakin pulih seperti sedia kala dan didapati bersih, namun pemantauan akan terus dijalankan sebelum boleh dibuka untuk kunjungan orang ramai," katanya bagi mengulas lanjut mengenai perkembangan kerja pembersihan Pantai Cermin di Batu 10 berkenaan, di sini, tadi.

Terdahulu, tumpahan minyak dikesan berlaku di sepanjang tiga Kilometer di pantai berkenaan yang disedari orang ramai selepas mendakwa terhidu bau minyak yang kuat dari arah pantai berkenaan.

KEADAAN pencemaran minyak di Pantai Cermin. FOTO FAIL NSTP
KEADAAN pencemaran minyak di Pantai Cermin. FOTO FAIL NSTP

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan sudah mengambil sampel minyak berkenaan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi mengetahui jenis minyak itu.

Sebanyak 10 agensi negeri membabitkan 83 anggota terbabit dalam kerja-kerja pembersihan sisa pencemaran tumpahan minyak di pantai berkenaan.

Ia membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Bhd (TNB), Jabatan Laut, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sementara itu, Pengarah JAS Negeri Sembilan, Azuri Azizah Saedon ketika dihubungi berkata, punca pencemaran pantai berkenaan masih belum diketahui dan siasatan masih diteruskan.

"Aktiviti pembersihan pantai yang dilakukan agensi berkaitan sudah berakhir kelmarin, namun kami masih terus memantau.

"Setakat ini punca pencemaran belum dikenal pasti dan masih lagi dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 3:42 PM