FOTO fail menunjukkan Rali Motosikal Sturgis 2020. FOTO Agensi
FOTO fail menunjukkan Rali Motosikal Sturgis 2020. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Seramai 700,000 orang dijangka memenuhi Black Hills di Dakota Selatan untuk Rali Motosikal Sturgis, Jumaat ini.

Pengarah program itu Jerry Cole berkata, ramai ingin hadir ke acara berkenaan yang menggunakan slogan Kami Melebarkan Sayap itu.

Namun, ia menimbulkan kebimbangan ketika varian Delta semakin meningkat dan mudah tersebar selain berjuta-juta orang masih belum divaksin.

Terdapat kegusaran dalam kalangan pegawai kesihatan dan penduduk bahawa acara rali terbesar di dunia itu mampu menjadi acara perebak utama.

Perhimpunan tahunan ke-81 itu dianjurkan selepas setahun acara sama menarik 460,000 orang yang rata-ratanya tidak memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal, tahun lalu.

Acara berkenaan disifatkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) 'mempunyai banyak ciri penyebaran'.

Sekurang-kurangnya 649 kes covid-19 dikaitkan dengan acara di Sturgis tahun lalu.

Tetapi jumlah sebenar tidak dimaklumkan kerana pengesanan sukar dilakukan selepas peserta kembali ke negeri asal.

Walaupun jumlah kes Covid-19 di Sturgis agak rendah, CDC menetapkan Meade County sebagai kawasan penularan tinggi dalam komuniti dan menasihatkan penduduk atau pengunjung untuk memakai pelitup muka di ruang dalam bangunan.

Kira-kira 37 peratus penduduk dari Meade County divaksinasi sepenuhnya, dan lebih dari 47 peratus dari Dakota Selatan sudah divaksinasi, setakat Jumaat lalu.

Sebanyak 50 peratus dari penduduk dewasa Amerika Syarikat sudah diberi vaksin sepenuhnya.

Jurucakap bandar Strugis, Christina Steele berkata, pihaknya menawarkan ujian saringan, pelitup muka dan pembasmi kuman untuk sesiapa sahaja di bandar.

Tetapi, tidak ada peraturan khusus berhubung memakai pelitup muka.

Bandar ini juga menandatangani peraturan sementara untuk membenarkan orang berkumpul di luar.

Perhimpunan Sturgis adalah acara luar skala besar terbaru yang diadakan ketika gelombang keempat penularan pandemik ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 6:45 AM