PELITUP muka masih perlu dipakai ketika berada di hub pengangkutan awam. FOTO AFP.
PELITUP muka masih perlu dipakai ketika berada di hub pengangkutan awam. FOTO AFP.
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) menarik balik peraturan memakai pelitup muka kepada penduduk yang sudah menerima vaksin Covid-19 sepenuhnya.

Pengumuman keputusan oleh Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) pada Khamis, disifatkan Presiden Joe Biden sebagai permulaan 'hari yang baik' selepas perjuangan panjang melawan pandemik.

"Sesiapa yang sudah divaksin sepenuhnya boleh menyertai aktiviti 'indoor' dan 'outdoor' berskala kecil atau besar tanpa memakai pelitup muka mahupun menjaga jarak fizikal," kata Pengarah CDC Rochelle Walensky.

Beliau juga memaklumkan penduduk yang melengkapkan dos vaksin boleh melakukan kegiatan yang sebelum ini dilarang akibat Covid-19.

Di Rumah Putih, Biden mengumumkan penarikan peraturan pelitup muka satu kejayaan besar dalam melawan virus yang sudah mengorbankan lebih 580,000 penduduk AS.

"Ini kejayaan hebat, hari baik (buat AS)," katanya.

Walaupun penarikan larangan itu secara umumnya menggembirakan, ada sesetengah penduduk memberitahu mahu terus memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga.

"Saya akan terus memakainya di tempat tertutup," kata Mubarak Dahir, 57, yang berasal dari Florida.

Dia yang berkunjung ke bandar ini memberitahu keadaan masih belum pulih sepenuhnya dan sukar untuk mempercayai situasi boleh kembali seperti dahulu.

Hampir 60 peratus penduduk dewasa AS menerima satu atau dua dos vaksin, dengan kes jangkitan turun mendadak iaitu anggaran purata 38,000 kes bagi tujuh hari atau 100,000 kes bagi 11 hari.

Pada Khamis, kempen vaksinasi bagi kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun bermula secara besar-besaran selepas kebenaran penggunaan vaksin Pfizer untuk kumpulan itu.

Menurut laman web CDC, pelitup muka masih perlu dipakai di dalam kapal terbang, bas, kereta api dan pengangkutan awam lain di negara itu selain, ketika berada di hub pengangkutan seperti lapangan terbang dan stesen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 11:08 AM