RESPIRATOR jenis KF94 keluaran Korea Selatan jadi pilihan kebanyakan masyarakat.
RESPIRATOR jenis KF94 keluaran Korea Selatan jadi pilihan kebanyakan masyarakat.

Kuala Lumpur: Ketika negara mengharungi asakan varian Delta pada tahun lepas yang menyaksikan jangkitan baharu Covid-19 melebihi 10,000 kes hampir setiap hari, sesetengah ahli masyarakat mula memakai respirator, bukan lagi pelitup muka perubatan biasa.

Nana, 45, antara yang berbuat demikian, dan ketika ditanya faktor yang menyebabkannya beralih kepada respirator, wanita itu menjawab dia mahukan perlindungan yang lebih baik selain pemakaian tidak renyah.

Respirator pilihan wanita itu ialah KF94 keluaran Korea Selatan iaitu dalam kategori sama dengan N95. Pasaran turut menawarkan respirator KN95 dari China dan FFP2 yang berdasarkan piawaian Eropah.

"Pakai respirator ni mudah, saya tak perlu lagi susah-susah nak pakai dua lapis pelitup muka setiap kali hendak keluar rumah. Selain itu, ibu saya juga penghidap kanser. Saya tak mahu dia dijangkiti Covid-19 yang dibawa pulang oleh saya," jelasnya.

Kini, tatkala ledakan Delta memperlahan dan varian Omicron yang lebih mudah berjangkit pula muncul, Nana yakin keputusannya memakai respirator itu adalah yang terbaik bagi melindungi keluarganya yang kesemuanya sudah lengkap divaksinasi.

Polemik pelitup muka dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan dan pihak berkuasa berkaitan di Amerika Syarikat dan Eropah, memperkuat keyakinan Nana, apabila masing-masing menyarankan pemakaian pelitup muka berkualiti tinggi bagi mengekang jangkitan Omicron yang semakin mengganas di benua terbabit.

Malaysia bagaimanapun tidak menuruti langkah negara berkenaan. Garis panduan pemakaian pelitup muka yang diguna pakai sejak 23 Ogos tahun lepas tidak dikemas kini.

Saranan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah agar orang ramai memakai pelitup muka berganda - pelitup muka perubatan dan pelitup muka fabrik berserta pelindung muka masih terpakai.

Pakar perubatan yang dihubungi juga berpandangan tidak ada keperluan untuk orang ramai beralih memakai respirator.

Selain menyifatkan respirator mungkin terlalu mahal bagi kebanyakan ahli masyarakat, pakar juga melihat pemakaian pelitup muka perubatan tiga lapis secara betul sudah memadai, termasuk untuk mencegah jangkitan Omicron, asalkan pelitup muka tersebut memenuhi keperluan minimum piawaian.

Pakar Perunding Pulmonologi Dr Wong Chee Kuan berkata, ini kerana rata-rata penduduk di Malaysia berpelitup muka apabila keluar rumah.

"Masalahnya ialah di luar negara, mereka tidak mengamalkan pemakaian pelitup muka. Hal ini meningkatkan jangkitan dalam komuniti mereka. Malaysia pula kuatkuasakan arahan iaitu kita mesti memakai pelitup muka apabila mahu ke tempat awam," katanya.

Pelitup muka N95 merupakan respirator berstandard premium, menjanjikan penapisan kira-kira 95 peratus zarah di udara seperti debu, kabus dan asap.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), pemakaian N95 menghalang kemasukan zarah sekecil 0.3 mikron dan titisan.

Selain itu, N95 juga mempunyai mekanisme elektrostatik yang berfungsi memerangkap zarah bercas dan tidak bercas.

Perlindungan serupa atau hampir sama turut ditawarkan oleh KN95, KF94 dan FFP2 - ini jauh lebih baik berbanding pelitup muka biasa.

Pemakaian pelitup muka, walaupun sehelai, dapat mengurangkan peluang penyebaran virus korona kerana perlindungan yang diberikan meliputi individu lain dan juga si pemakai. Menurut pakar, paling penting adalah cara pemakaian yang betul.

"Pemakaian KN95 atau N95 akan memberikan perlindungan yang lebih kepada si pemakai, terutama dalam mendepani ancaman Omicron yang sangat mudah berjangkit. Bagaimanapun, perkara yang paling penting adalah pelitup muka dipakai dengan betul," kata Prof Madya Dr Rafdzah Ahmad Zaki, pakar perubatan kesihatan awam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ringkasnya, apa juga jenis pelitup muka yang dipakai, pastikan sebarang ruang di antara pelitup dan muka si pemakai bertutup serapat mungkin.

"Ramai yang sudah mula memakai N95 atau KF94, malah sebelum kewujudan Omicron lagi namun perlu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 6:45 AM