PENGGUNA pengangkutan awam di Chicago memakai pelitup muka. FOTO AFP
PENGGUNA pengangkutan awam di Chicago memakai pelitup muka. FOTO AFP
AFP

Washington: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan individu yang sudah menerima suntikan vaksin di kawasan berisiko tinggi di negara itu untuk kembali memakai pelitup muka ketika berada di tempat tertutup.

Perubahan itu susulan kemunculan varian Delta yang menyebabkan kes melonjak dengan titik panas di daerah yang tercicir vaksinasi.

"CDC mengesyorkan agar individu yang diberi vaksin lengkap memakai pelitup muka di tempat tertutup awam di daerah besar dan kepadatan tinggi," kata pengarah CDC Rochelle Walensky.

Menurut Walensky, ia perlu berikutan varian Delta merebak dengan cepat ke seluruh negara.

Walaupun keberkesanan vaksin tetap tinggi terhadap varian Delta, data baru menunjukkan beberapa individu menerima vaksin kemungkinan menyebarkan virus kepada orang lain.

Bagaimanapun, kes sebegitu dilaporkan masih jarang berlaku ketika ini.

"Dapatan baru ini membimbangkan dan memerlukan kami mengemas kini apa yang perlu disyorkan," katanya.

Menurut data CDC terkini, sebahagian besar kawasan di selatan AS mengalami penularan yang tinggi.

Sementara itu, kebanyakan kawasan di timur laut AS yang menerima jumlah suntikan vaksin tinggi mengalami kadar penularan komuniti yang sederhana.

Penularan ketara bererti antara 50 hingga 100 kes harian setiap 100,000 orang melebihi purata tujuh hari, manakala yang tinggi ditakrifkan sebagai lebih daripada 100 kes setiap 100,000 individu melebihi purata sama.

Tambah Walensky, CDC akan mengesyorkan sekolah menerapkan pemakaian pelitup muka, termasuk dalam guru, kakitangan, pelajar dan pengunjung, tanpa mengira status vaksinasi dalam usaha membendung penularan varian Delta.

Minggu lalu, CDC mempertahankan keputusan dibuat pada Mei lalu bahawa individu yang menerima suntikan vaksin tidak perlu memakai pelitup muka di dalam kebanyakan keadaan dengan pengecualian termasuk pengangkutan awam dan hospital.

Bagaimanapun, jumlah jangkitan kini melonjak disebabkan varian Delta, yang menyumbang kira-kira 90 peratus kes.

Purata kes harian terkini dalam tempoh seminggu melebihi 56,000, sama dengan rekod pada April.

Sebanyak 49 peratus penduduk AS diberi vaksin sepenuhnya, tetapi kadar vaksinasi cenderung di kawasan yang liberal dan konservatif secara politik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 10:10 AM