ERDOGAN berucap ketika upacara pembukaan kereta api pinggir bandar Gebze-Halkali di Istanbul. -Foto AFP
ERDOGAN berucap ketika upacara pembukaan kereta api pinggir bandar Gebze-Halkali di Istanbul. -Foto AFP
AFP

ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, menempelak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan menggelarnya sebagai manusia kejam yang melakukan pembunuhan beramai-ramai kanak-kanak Palestin.

Erdogan membuat celaan itu selepas Netanyahu menyelarnya sebagai ‘diktator’ dan ‘pelawak’.

Hubungan Turki dan Israel tegang dengan Erdogan menjadi pemimpin negara Islam paling lantang mengecam rejim Zionis dan menyokong kuat perjuangan Palestin.

“Hei Netanyahu, jaga kelakuan kamu. Kamu kejam, seseorang yang kejam membunuh kanak-kanak Palestin berusia tujuh tahun,” kata Erdogan berucap di perhimpunan di Ankara, hari ini.

Erdogan juga merujuk kepada tindakan ganas polis Israel terhadap penduduk Palestin di Baitulmaqdis serta mengutuk tindakan polis Zionis memasuki Masjidil al-Aqsa.

“Jangan mengapi-apikan keadaan. Kami tidak melakukan kekasaran terhadap Yahudi di negara kami.

“Kami tidak melakukan apa-apa di sini, seperti yang kamu lakukan di sana.

“Jangan mengapi-apikan kami,” katanya.

Netanyahu sebelum ini, menyatakan Israel adalah negara hanya untuk Yahudi, bukan untuk semua rakyat (Arab, etnik Druze yang juga rakyat Israel).

Turki membalas dengan melabelkan Israel sebagai negara perkauman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 9:00 PM