Kanak-kanak Palestin memeriksa bangunan yang musnah akibat pengeboman Israel di Rafah. FOTO AFP
Kanak-kanak Palestin memeriksa bangunan yang musnah akibat pengeboman Israel di Rafah. FOTO AFP
BERNAMA

Ankara: Dengan membunuh lebih 14,000 kanak-kanak yang tidak bersalah di Gaza, Israel telah pun mengalahkan pemimpin Nazi Adolf Hitler, kata Presiden Turkiye pada Rabu.

Dengan sokongan tanpa syarat dari Barat, Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai yang merupakan aib dalam sejarah manusia, baik di Gaza dan Tebing Barat, kata Recep Tayyip Erdogan dalam mesyuarat kumpulan Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di parlimen Turkiye, lapor Agensi Anadolu.

Dengan mengatakan bahawa tiada siapa yang boleh mempersoalkan sensitiviti Turkiye terhadap isu Palestin, Erdogan menambah bahawa perjuangan Palestin memberikan makna baharu dalam hidupnya.

"Selagi Allah memberikan saya nyawa, saya akan terus mempertahankan perjuangan Palestin dan akan menjadi suara rakyat Palestin yang ditindas," kata Erdogan.

Membandingkan perjuangan kumpulan penentang Palestin Hamas dengan Perang Kemerdekaan Turkiye lebih 100 tahun yang lalu, Erdogan berkata: "Kami sedar bahawa ada harga yang perlu dibayar untuk mengatakan ini."

Erdogan memberitahu bagaimana 15 tahun yang lepas, di Forum Ekonomi Dunia 2009 di Davos, Switzerland, beliau mencabar kepimpinan Israel dan penindasannya terhadap rakyat Palestin, dalam pertemuan yang menjadi viral, dengan membantah, "Satu minit!"

"Apabila tidak ada orang lain yang bercakap, kami berdiri dan berkata: "Hamas bukan organisasi pengganas, tetapi kumpulan penentang." Kami membentangkan peta di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menunjukkan bagaimana Israel secara beransur-ansur menduduki tanah Palestin sejak 70 tahun lepas," katanya.

"Kami menyokong saudara dan saudari Palestin kami dalam segala cara, terutamanya pada masa-masa yang paling sukar. Kami telah menggerakkan semua sumber kami untuk Palestin, untuk penduduk Gaza yang tertindas," tegas Erdogan.

Erdogan mengulangi tekad Turkiye untuk berani mempertahankan perjuangan Palestin bagi mencapai kemerdekaan dalam apa jua keadaan.

Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023, setakat ini mengorbankan hampir 34,000 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 77,000 yang lain, menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 11:37 PM