Penduduk Palestin bertempur dengan tentera Israel di Khan Yunis, Gaza, hari ini. - Foto AFP
Penduduk Palestin bertempur dengan tentera Israel di Khan Yunis, Gaza, hari ini. - Foto AFP
AFP

PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan, meningkat kecamannya terhadap Israel dengan secara langsung menggelar rejim Zionis itu sebagai negara pengganas dan pembunuh kanak-kanak.

Dalam ucapannya hari ini, Erdogan menegaskan berkata akan terus menentang pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Amerika.

“Palestin adalah mangsa yang tidak bersalah. Israel pula negara pengganas, ya, pengganas!

“Kami tidak akan membiarkan Baitulmaqdis terlepas ke tangan negara yang membunuh kanak-kanak,” kata Erdogan dalam ucapannya di Sivas.

Ketika ucapannya, Erdogan memegang gambar kanak-kanak Palestin berusia 14 tahun diseret tentera Israel di Hebron, Tebing Barat.

Dalam ucapannya semalam, Erdogan menggelar Israel sebagai negara penjajah yang menggunakan keganasan terhadap penduduk Palestin, mengebom rakyat Palestin termasuk kanak-kanak.

Kelantangan Erdogan, antara segelintir pemimpin Islam yang mengecam Israel menyebabkan hubungan kedua-dua negara kini tegang.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kemudian membalas dengan menuduh Erdogan mengebom penempatan Kurdish dan menyokong pengganas.

Israel dan Turki mempunyai hubungan normal sejak beberapa tahun lalu, sehingga Presiden Donald Trump secara rasmi mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Zionis.

Ia ditambah dengan keganasan Israel yang menembak mati penduduk Palestin yang menyertai bantahan serta mengebom kawasan yang didakwanya kemudahan tentera Hamas.

Netanyahu yang mengunjungi Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkkata: “Saya tidak boleh terima syarahan moral daripada pemimpin yang mengebom penempatan Kurdish di Turki, memenjarakan wartawan, membantu Iran yang dikenakan sekatan dan membantu pengganas, termasuk di Gaza

“Ini bukan orang yang layak mengajar kami.”

Jurucakap Erdogan, Ibrahim Kalin, membalas dengan berkata: “Sebelum mengecam negara dan pemimpin kami, Israel perlu menamatkan penjajahannya di wilayah Palestin.

“Kami akan tunjukkan melaksanakan langkah itu (Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel) tidak semudah diperkatakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 4:16 PM