Presiden Turkiye Tayyip Erdogan, memakai selendang dengan bendera Palestin dan Turki, berdiri di atas pentas semasa perhimpunan yang dianjurkan oleh parti AKP sebagai solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza, di Istanbul pada 28 Oktober 2023. FOTO PEJABAT AKHBAR PRESIDEN TURKIYE /AFP

REUTERS & AA

Istanbul: "Kami akan memberitahu seluruh dunia bahawa Israel adalah penjenayah perang. Kami sedang membuat persiapan untuk ini. Kami akan mengisytiharkan Israel sebagai penjenayah perang," kata Presiden Turkiye Tayyip Erdogan.

Dalam ucapan selama sejam di hadapan ratusan ribu penyokong di perhimpunan pro-Palestim terbesar beliau berkata, Israel secara terbuka melakukan jenayah perang selama 22 hari.

"Tetapi pemimpin Barat tidak boleh meminta Israel untuk gencatan senjata, apatah lagi bertindak balas terhadapnya," katanya ketika berucap di hadapan ratusan ribu rakyat Turkiye yang berhimpun dalam solidariti "Great Palestine Rally' di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul.

Erdogan turut mengulangi penegasannya bahawa Hamas bukanlah sebuah pertubuhan pengganas, sebaliknya adalah pejuang kemerdekaan dan menyifatkan Israel sebagai penjajah.

Tidak seperti kebanyakan sekutu NATO, Kesatuan Eropah dan beberapa negara Teluk, Turkiye tidak menganggap Hamas sebagai organisasi pengganas.

Orang ramai mengibarkan bendera Turkiye dan Palestin ketika Presiden Turki berucap semasa perhimpunan solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza, di Istanbul pada 28 Oktober 2023. Foto PEJABAT AKHBAR PRESIDEN TURKIYE /AFP

Sementara itu Anadolu Agency (AA) melaporkan Erdogan dengan tegas berkata bahawa dunia Barat menggerakkan ahli politiknya, dan media untuk menghalalkan pembunuhan beramai-ramai orang yang tidak bersalah di Gaza, sambil menambah: "Israel melakukan jenayah perang."

Dia berkata Israel adalah "penjajah", sambil menambah: "Barat berhutang kepadamu, tetapi Turkiye tidak berhutang kepadamu."

"Mereka yang mengalirkan air mata buaya untuk orang awam yang terkorban dalam perang Ukraine-Rusia namun senyap menyaksikan kematian beribu-ribu kanak-kanak yang tidak berdosa di Gaza, katanya.

"Saya bertanya kepada Barat, adakah anda mahu mencipta suasana Perang Salib yang lain?" dia bertanya, sambil menambah: "Penyebab utama di sebalik pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Gaza adalah Barat."

"Sudah tentu setiap negara mempunyai hak untuk mempertahankan diri, tetapi di manakah keadilan? Tiada pertahanan melainkan pembunuhan beramai-ramai yang terbuka dan kejam berlaku di Gaza."

Erdogan berkata beliau menyanjung "keazaman rakyat Gaza" untuk tidak meninggalkan rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 1:02 PM