KEKECOHAN yang berlaku dalam sidang dewan Sri Lanka.
KEKECOHAN yang berlaku dalam sidang dewan Sri Lanka.
Agensi

COLOMBO: Parlimen Sri Lanka terus kecoh semalam dengan ahli dewan yang menyokong Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa, membaling serbuk cili ke arah pembangkang dan kerusi kepada polis ketika ia meluluskan satu lagi usul tidak percaya yang menolak kerajaannya buat kali kedua minggu ini.

Ahli perundangan pro-Rajapaksa juga melemparkan objek ke arah Speaker Parlimen, Karu Jayasuriya, lapor akhbar Daily Mirror.

Di sebalik keganasan itu, mereka gagal menghalang Parlimen meluluskan usul tidak percaya dalam kepemimpinannya semalam, menolak kerajaan pimpinan Rajapaksa buat kali kedua.

Ia adalah keganasan terbaru dalam krisis yang dicetuskan tiga minggu lalu apabila Presiden Maithripala Sirisena, tiba-tiba memecat Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe, dan melantik Rajapaksa ke jawatan itu.

Sesi Parlimen ditangguhkan selama lebih 30 minit semalam apabila ahli perundangan mengadakan tunjuk perasaan sekitar kerusi Speaker.

Mereka menggesa penangkapan segera di ahli perundangan daripada Parti Bersatu Kebangsaan pimpinan Wickremesinghe, kerana membawa pisau masuk ke dalam Parlimen sehari sebelum itu.

Di tengah kekecohan di Parlimen itu yang menyaksikan beberapa objek dibaling ke arah Speaker, lebih 24 anggota polis memasuki dewan untuk mengiringi beliau.

Ketika Rajapaksa melihat keadaan itu dari tempat duduknya, ahli perundangan menyerang pegawai polis dengan kerusi dan buku, mencederakan dua daripada mereka.

Seorang ahli perundangan menolak kerusi Speaker ke lantai dan mengheretnya.

Berlindung di belakang bangku dan dikelilingi pegawai polis, Jayasuriya segera menggesa undian tidak percaya.

Speaker kemudian mengumumkan usul itu diluluskan dan Parlimen ditangguhkan sehingga 19 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 10:31 AM