AHLI Parlimen bergasak ketika persidangan semalam. - AFP
AHLI Parlimen bergasak ketika persidangan semalam. - AFP
AFP

COLOMBO: Keadaan di Parlimen Sri Lanka semalam huru-hara selepas anggotanya bergaduh dan bertumbuk serta melontar kerusi, sehari selepas mereka mengundi untuk menyingkirkan orang yang dikatakan sebagai Perdana Menteri, Mahinda Rajapakse.

“Sukar untuk bercakap siapa yang pukul siapa tetapi beberapa ahli dewan cedera meskipun tidak serius. Speaker telah menangguhkan sidang,” kata seorang pegawai.

Katanya, seorang ahli Parlimen daripada parti pimpinan Rajapakse yang disingkirkan itu, tercedera apabila cuba menarik mikrofon di depan Speaker dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Sri Lanka sudah tiga minggu dilanda krisis selepas Presiden Maithripala Sirisena memecat Ranil Wickremesinghe sebagai Perdana Menteri dan menggantikannya dengan Rajapakse pada 26 Oktober lalu.

Sesi Parlimen terbaru, kali pertama sejak Rajapakse dan pentadbirannya dijatuhkan, bermula dengan speaker mengumumkan Sri Lanka tidak lagi ada kerajaan.

“Ketika ini, kita tidak ada Perdana Menteri, menteri Kabinet dan kerajaan. Saya tidak iktiraf mana-mana orang sebagai Perdana Menteri,” kata Karu Jayasuriya.

Berikutan keputusan undi untuk menyingkirkan Rajapakse sebagai Perdana Menteri di Parlimen, ia dianggap memberi sokongan besar kepada Wickremesinghe.

Perdana Menteri empat kali itu yang popular dengan negara Barat kerana melakukan pembaharuan ekonomi, enggan meninggalkan kediaman rasminya selepas dipecat presiden.

Ketika berucap lebih awal di Parlimen sebagai ahli biasa, Rajapakse memohon dewan menamatkan krisis dengan mengadakan pilihan raya umum.

“Mari adakan pilihan raya. Kami mahu pilihan raya umum diadakan,” kata Rajapakse.

Parti Wickremesinghe segera mengemukakan usul menolak gesaan Rajapakse dan menuntut undian diadakan menyingkirkan bekas Perdana Menteri itu yang menjadi punca bantahan disuarakan penyokong Rajapakse dan Sirisena membawa kepada pergaduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 11:02 AM