Seorang lelaki rakyat Sri Lanka membaca surat khabar yang mengandungi berita pembubaran Parlimen Sri Lanka, di Colombo. FOTO Reuters
Seorang lelaki rakyat Sri Lanka membaca surat khabar yang mengandungi berita pembubaran Parlimen Sri Lanka, di Colombo. FOTO Reuters
Reuters

COLOMBO : Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena membubarkan parlimen malam tadi dan menetapkan tarikh pilihan raya umum pada 5 Januari depan dalam satu langkah yang dilihat sebagai mengeruhkan lagi kemelut politik negara itu.

Pembubaran berkenaan itu yang dijangka dicabar di mahkamah diumumkan dalam pekeliling rasmi ditandatangani Sirisena sendiri, malah beliau turut menetapkan tarikh persidangan parlimen pada 17 Januari.

Langkah terbabit berlaku selepas ketegangan politik sejak dua minggu lalu yang menyaksikan pemecatan mendadak Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe oleh Sirisena dan pelantikan pemimpin pro China, Mahinda Rajapaksa sebagai ganti.

Susulan pemecatan, Sirisena turut menggantung sidang parlimen, satu langkah yang disifatkan Wickremesinghe sebagai cubaan untuk menghalang beliau dari mencabar keputusan berkenaan secara perundangan.

Sirisena kemudiannya bersetuju menggerakkan semula parlimen pada 14 November namun keadaan itu tidak mungkin berlaku.

Wickremesinghe terdahulu enggan meninggalkan kediaman rasmi Perdana Menteri dan menegaskan, beliau dipilih secara sah mengikut majoriti parlimen.

Sirisena sebelum menandatangani pembubaran parlimen bertindak melantik beberapa sekutu termasuk Rajapaksa untuk memegang jawatan dalam kabinet.

“Ini adalah pencabulan perlembagaan yang amat menjijikkan,” kata Harsha De Silva, penggubal undang-undang dalam parti Wickremesinghe, merujuk kepada pembubaran parlimen.

Pakar perundangan bebas memberitahu, parlimen hanya boleh dibubarkan awal tahun 2020 iaitu 4 1/2 tahun dari tarikh persidangan parlimen sedia ada.

Satu-satunya cara yang sah untuk tindakan berkenaan adalah menerusi referendum atau perkenan daripada 2/3 penggubal undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 3:33 PM