ANGGOTA tentera menahan penghadang ketika berdepan protes antikerajaan yang masuk hari ke-50 menggesa peletakan jawatan Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa di Colombo, Sri Lanka. FOTO AFP
ANGGOTA tentera menahan penghadang ketika berdepan protes antikerajaan yang masuk hari ke-50 menggesa peletakan jawatan Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa di Colombo, Sri Lanka. FOTO AFP
Agensi

Colombo: Polis Sri Lanka terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata terhadap ribuan pelajar bagi menyuraikan mereka ketika cuba menyerbu rumah Presiden, Gotabaya Rajapaksa.

Tunjuk perasaan itu dilakukan selepas kerajaan menawarkan jaminan untuk memperbaiki keadaan kepada penunjuk perasaan, yang masih menuntut pemimpin terbabit meletakkan jawatan.

Skuad antirusuhan menggunakan meriam air diikuti gas pemedih mata, ketika penunjuk perasaan cuba mengalihkan penghadang besi kuning yang melintasi jalan bagi menuju ke kediaman rasmi Rajapaksa di Colombo.

Sementara itu, di kawasan berhampiran, ribuan rakyat mengadakan demonstrasi yang memasuki hari ke-51 secara berturut-turut di luar pejabat presiden di pinggir laut, menuntut beliau berundur selepas Sri Lanka mengalami krisis ekonomi terburuk sejak merdeka.

Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe, semalam menawarkan anak muda peluang untuk bersuara dan menyatakan pandangan berhubung pentadbiran negara.

"Golongan muda menuntut perubahan dalam sistem sedia," katanya yang merancang menubuhkan 15 jawatankuasa bagi bekerjasama dengan Parlimen untuk memutuskan dasar negara.

Katanya, pihaknya bercadang untuk melantik empat wakil belia bagi setiap satu daripada 15 jawatankuasa itu, termasuk wakil peserta tunjuk perasaan sekarang.

Menurut Wickremesinghe, di bawah cadangan reformasi perlembagaan, kuasa Presiden akan dikurangkan dan kuasa Parlimen diperkukuhkan.

Protes semalam membawa kepada keadaan tegang di Colombo, di mana pihak berkuasa terus bergelut untuk menyuraikan orang ramai.

Beberapa lelaki turut dilihat meludah ke dalam tin sebelum melemparkannya semula ke arah polis yang melepaskan tembakan.

Selain itu, pelajar wanita jurusan perubatan dan sains yang menyertai tunjuk perasaant lari berlindung apabila pihak berkuasa melepaskan tembakan meriam air.

Pertembungan terbaru yang berlaku semalam itu adalah kali kedua selepas pertembungan seumpamanya sehari sebelumnya apabila penunjuk perasaan cuba menyerbu kediaman rasmi Rajapaksa yang dikawal ketat, tempat beliau berlindung sejak 31 Mac lalu.

Kekurangan pertukaran asing bagi import, yang tidak pernah berlaku sebelum ini termasuk membabitkan bekalan penting, seperti makanan, bahan api dan ubat-ubatan, menyebabkan kehidupan bertambah teruk bagi 22 juta penduduk negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 7:00 AM