ORANG ramai memenuhi Istana Presiden Sri Lanka di Colombo, sehari selepas ditakluk penunjuk perasaan antikerajaan. FOTO AFP.
ORANG ramai memenuhi Istana Presiden Sri Lanka di Colombo, sehari selepas ditakluk penunjuk perasaan antikerajaan. FOTO AFP.
AFP

Colombo: Wang tunai jutaan rupee yang ditinggalkan Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa apabila beliau melarikan diri dari kediaman rasmi di ibu negara diserahkan kepada mahkamah, hari ini.

Penunjuk perasaan yang menyerbu kediaman itu, Sabtu lalu menemui wang kertas yang masih baharu berjumlah 17.85 juta Rupee (kira-kira RM221,350) tetapi menyerahkannya kepada pihak polis.

"Wang tunai sudah diserahkan kepada polis dan akan dibawa ke mahkamah hari ini," kata jurucakap polis.

Sumber rasmi berkata, beg bimbit yang penuh dengan dokumen turut ditinggalkan.

Rajapaksa mula menetap di istana berusia dua dekad itu selepas keluar dari rumah persendiriannya pada 31 Mac lalu apabila peserta rusuhan menyerbu kediaman berkenaan.

Bagaimanapun, pemimpin berusia 73 tahun itu melarikan diri lagi dari kediaman rasmi menerusi pintu belakang di bawah kawalan anggota tentera.

Beliau dikatakan dibawa menaiki bot menghala ke timur laut kepulauan itu, kata sumber kepada AFP.

Sehingga kini lokasi sebenar keberadaan beliau tidak diketahui, tetapi Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe berkata, Rajapaksa sudah memaklumkan secara rasmi hasratnya untuk meletak jawatan.

Secara automatik, Wickremesinghe, 73, akan memangku jawatan presiden sekiranya Rajapaksa meletak jawatan, namun beliau mengumumkan kesediaan untuk berundur jika kesepakatan dicapai bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Rajapaksa memberitahu Speaker Parlimen, Mahinda Abeywardana mengenai peletakan jawatan yang akan dibuat pada Rabu ini demi "peralihan aman", beberapa jam selepas dipaksa keluar dari kediaman rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 4:00 PM