TUN Naing  dihukum mati. - Daily Mail
TUN Naing dihukum mati. - Daily Mail
Daily Mail

Yangon: Seorang dukun dihukum mati semalam kerana membunuh tiga kanak-kanak kononnya dalam upacara menghalau hantu yang merasuk mereka.

Tun Naing yang terkenal mengamalkan ilmu hitam didapati bersalah membelasah mati dua budak berusia dua tahun dan seorang bayi berusia lapan bulan lewat tahun lalu di perkampungan kecil berhampiran Yangon.

Menurut saksi, dia memberitahu penduduk kampung kononnya kanak-kanak terbabit dirasuk roh jahat sebelum menyerang mereka manakala keluarga mangsa yang tergamam hanya mampu memandang.

Pegawai mahkamah Myat Soe berkata, Tun Naing dihukum mati kerana membunuh tiga budak itu selain dipenjara tujuh tahun kerana mencederakan seorang lagi kanak-kanak dalam ritual berkenaan.

Myanmar masih mengamalkan hukuman mati tetapi tidak melaksanakannya sejak beberapa dekad lalu, bererti kemungkinan besar hukuman itu akan diringankan kepada penjara selama 20 tahun.

Kematian tiga kanak-kanak itu pada Oktober lalu menggemparkan Myanmar yang masih mengamalkan kepercayaan sihir dan ilmu hitam dalam kehidupan seharian.

Pekerja hospital menghubungi pihak berkuasa selepas seorang bapa membawa anak perempuannya untuk rawatan dengan badan mangsa dipenuhi kesan lebam.

Menurut saksi, penduduk kampung termasuk keluarga mangsa seolah-olah menjadi bodoh selepas dijampi dukun berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 7:03 AM