FOTO pada 23 Mac menunjukkan peserta demonstrasi di perkampungan di Dawei. FOTO DAWEI WATCH / AFP
FOTO pada 23 Mac menunjukkan peserta demonstrasi di perkampungan di Dawei. FOTO DAWEI WATCH / AFP
Agensi

Yangon: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun mati terkena tembakan dilepaskan oleh pasukan keselamatan Myanmar, menjadikannya mangsa termuda akibat bantahan rampasan kuasa di negara itu.

BBC melaporkan ahli keluarnya berkata, budak itu terbunuh di rumahnya di bandar Mandalay.

Kumpulan hak asasi Save the Children berkata, lebih 20 kanak-kanak antara mangSa yang terbunuh akibat SIRI bantahan berkenaan.

Menurut pasukan keselamatan, 164 orang sudah terbunuh di dalam tunjuk perasaan itu.

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi, Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP) menyatakan bahawa angka korban adalah sekurang-kurangnya 261 orang.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan bahawa askar melepaskan tembakan terhadap bapa budak itu, tetapi terkena mangsa yang berada di pangkuan bapanya di dalam rumah mereka.

Mangsa dikenali sebagai Khin Myo Chit.

Pasukan keselamatan tidak mengulas mengenai kejadian itu.

Dalam pada itu, Save the Children menyatakan kebimbangan mengenai kejadian itu yang berlaku sehari selepas seorang budak lelaki berusia 14 tahun ditembak mati di Mandalay.

Pada 1 Februari lalu, tentera merampas kuasa selepas menahan Suu Kyi yang juga Kaunselor Negara dan Presiden Myanmar Win Myint.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu.

Tentera Myanmar kemudian mengisytiharkan darurat selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden.

Susulan itu, demonstrasi tercetus di seluruh negara bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 10:47 AM