GAMBAR Hiasan.
GAMBAR Hiasan.
Agensi

Riyadh: Gara-gara terpedaya dengan nasihat dukun yang mendakwa boleh membuang gangguan jin, seorang bapa kehilangan anak perempuannya buat selama-lamanya.

Kanak-kanak warga Arab Saudi itu mati lemas selepas dinasihatkan dukun palsu terbabit supaya berendam di laut bagi merawat penyakitnya.

Media tempatan melaporkan, budak perempuan itu yang tinggal di wilayah Tabuk, utara Arab Saudi dibawa bapanya bertemu suspek berusia 85 tahun, baru-baru ini selepas dimaklum yang lelaki itu handal membuang jin.

Suspek mendakwa mempunyai kuasa untuk mengusir jin daripada badan yang dirasuk dan memberitahu air laut mampu merawatnya.

Malangnya, kanak-kanak itu lemas ketika sesi rawatan yang dijalankan di luar wilayah Duba, Tabuk.

Pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut terhadap kes itu dan suspek sudah ditahan, manakala mayat kanak-kanak diserahkan kepada bapanya untuk pengebumian.

Sebelum ini, dukun itu pernah dilihat membawa unta buta ke tepi pantai untuk rawatan menggunakan air laut kerana mendakwa 'menghidu' jin dalam badan haiwan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 2:28 PM