Daily Mail

Johannesburg: Seorang pembunuh ‘pontianak’ mengelar leher seorang budak lelaki sebelum minum darahnya di tengah jalan dalam kejadian dipercayai satu ritual di Afrika Selatan.

Tinyiko Reckson (gambar), lima, sedang bermain dengan rakan di luar rumahnya di Soweto, Johannesburg, apabila seorang lelaki berpakaian keagamaan tiba-tiba menariknya dan menikam lehernya tiga kali sebelum melutut dan menghirup darah mangsa.

Orang ramai yang melihat kejadian itu berang lalu merampas pisau dipegang suspek berusia 21 tahun itu sebelum membelasahnya. Ketika itu wajah suspek masih dipenuhi darah.

Polis yang dikejarkan ke tempat kejadian sempat menyelamatkan suspek daripada dibelasah mati manakala paramedik berusaha menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

“Orang gila itu berpakaian seperti orang gereja dan kami mengesyaki ia pembunuhan untuk tujuan ritual tertentu,” kata seorang saksi.

Saksi lain, Lipolelo Boboke, 34, berkata: “Saya terdengar jeritan Tinyiko dan melihat lelaki itu menikamnya tiga kali di leher sebelum duduk di atasnya.

“Selepas menghirup darahnya, dia duduk termenung di atas mangsa.”

Seorang lagi saksi, Andries Ndlovu, 30, menyuarakan kemarahan dengan kejadian itu.

“Kanak-kanak sepatutnya bebas bermain di luar, sebaliknya ada ‘pontianak’ yang mahu menghirup darah mereka walaupun pada waktu siang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 9:36 AM