PEMAIN eRimau bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO FAM
PEMAIN eRimau bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO FAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Empat pemain skuad eRimau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mewakili negara dalam permainan Fifa Online 4 di Sukan Sea Hanoi dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula 25 April ini.

Menurut kenyataan FAM semua pemain akan menjalani latihan pusat selama empat hari di Wisma FAM, Kelana Jaya sehingga 29 April sebelum mereka dijadual berlepas ke Hanoi pada 11 Mei.

Pemain yang dipanggil adalah Muhammad Luqman Haziq Hajiman atau lebih dikenali 'LuqmanHzq' dari pasukan GBX Esports Team serta tiga lagi pemain dari Orange Esports iaitu Muhammad Asyraf Kamal (AK31), Gan Mun Kiat (RippedJeannn) dan Wan Muhammad Hakimm Wan Narizan (P3rlisTeamJr).

Saingan peringkat kelayakan Fifa Online 4 pada temasya dwitahunan itu akan berlangsung pada 14 Mei manakala final pada 15 Mei di Pusat Konvensyen Kebangsaan di Hanoi.

Skuad eRimau FAM menyasarkan sekurang-kurangnya membawa pulang pingat gangsa dari Hanoi.

Selain Fifa Online 4, kem e-sukan negara turut menghantar wakil bertanding dalam permainan Player Unknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Arena Of Valor Wild Rift, League Of Legends dan Garena Free Fire.

Malaysia membawa pulang satu emas menerusi Hearthstone dan satu gangsa menerusi MLLB berpasukan ketika e-sukan mula dipertandingkan pada Sukan Sea 2019 di Manila, Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 1:02 PM